Tuesday, July 24, 2007

YB DATO' YAKIN KEMANTAPAN JENTERA P'RAYA

Penyokong-penyokong Parti Bas pada hari penamaan calon.

Sdr. Hasan Surif tidak tahan dengan provokasi parti lawan.


Penceramah Parti Bas, Tuan Haji Ali diganggu oleh jentera Parti Tukul (kiri) dan Parti Payung (pegang payung).


Parti Payung dan Parti Tukul bersepakat hendak membenam Parti Bas tapi akhirnya mereka sendiri yang terbenam.


Provokator Parti Payung (kiri) dan Parti Tukul berkerjasama menghentam Parti Bas.


YB Dato' disambut oleh 'orang lama' parti.

Calon Parti Bas dalam salah satu kempen khidmat masyarakat.


Salah seorang jentera Parti Payung akhirnya terpaksa akur dengan layanan baik oleh calon Parti Bas.


Sdr. Husin Katan (Subang Ehsan) dan Ir. Rozali (Jalan Nuri Seksyen 7) bersama dua lagi jentera Parti Bas sedang sibuk berkempen.

“KALAU beginilah gayanya … saya yakin target Pembangkang Sifar di Selangor akan berjaya. Kita (BN) akan menang besar dalam pilihanraya umum akan datang, insya-ALLAH!” kata YB Dato’ ketika berucap di majlis penutup Kursus Simulasi Pilihanraya Siri ke 3 2007 di Institut Budaya Baru Melayu (IBBM), Hulu Klang, Ahad lalu.

Keyakinan YB Dato’ ternyata bukan dibuat-buat.

Beliau mengakui benar-benar yakin setelah melihat kesungguhan yang ditunjukkan oleh sekalian 175 peserta kursus yang mewakili enam kawasan DUN iaitu Kota Damansara, Sekinchan, Sabak, Kuala Kubu Bharu, Bangi dan Meru sepanjang kursus tiga hari dua malam itu.

“Saya juga telah diberitahu oleh para fasilitator bahawa tuan-tuan dan puan-puan yang menyertai kursus simulasi siri ke 3 ini adalah yang terbaik dari segi komitmen dan semangat berpasukan berbanding dua kursus yang terdahulu. Tahniah dan syabas saya ucapkan,” kata YB Dato’ lagi disambut tepukan bergemuruh oleh para peserta.

YB Dato’ juga mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para peserta ‘orang lama’ yang meskipun sudah berkali-kali berpengalaman mengharung pilihanraya namun masih tidak jemu-jemu menghadiri kursus sebagai peserta biasa.

“Ini menunjukkan betapa tuan-tuan dan puan-puan benar pejuang parti, cintakan parti dan wajib menjadi contoh teladan bagi generasi muda,” kata Ahli Jawatankuasa Perhubungan UMNO Negeri Selangor itu.

Selain peserta veteran, YB Dato’ juga menyuarakan penghargaan yang serupa kepada mereka yang berjawatan tinggi dalam kerajaan tetapi masih sudi hadir sebagai peserta biasa. Antara yang ditujukan penghargaan tersebut ialah YB Puan Noriah Kasnon, Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan yang juga Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Sungai Besar.

Sementara itu, dalam pilihanraya olok-olok yang diadakan untuk menguji kemantapan jentera UMNO sempena kursus tersebut, calon yang mewakili Parti Bas, Dr. Zulkafperi Hanafi telah berjaya meraih 84 undi untuk dipilih sebagai ADUN N57 Seri Bunian.

Ketua UMNO Cawangan Jalan Nuri Seksyen 7 dari DUN Kota Damansara itu menewaskan dua calon lain yang mewakili Parti Tukul dan Parti Payung.

YB Dato’ juga melahirkan rasa bangga kerana komitmen padu yang ditunjukkan oleh seluruh jentera UMNO DUN Kota Damansara yang diwakili 44 peserta – lebih tujuh peserta dari angka yang diarah hantar oleh Biro Latihan UMNO Negeri.

“Kekalkan semangat ini dan saya percaya, kita tidak akan menghadapi masalah dalam pilihanraya sebenar yang akan datang. Tapi jangan pula over confident!” pesan YB Dato’.



Monday, July 23, 2007

PEKAN SUBANG BAKAL BERWAJAH BARU

TUAN-tuan punya tanah di sekitar Subang DIINGATKAN supaya tidak sekali-kali menjual tanah mereka sekalipun ditawar harga yang lumayan.

Ingatan itu disuarakan YB Dato’ atas sebab kawasan di sekitar tapak bekas lapangan terbang utama negara itu akan dimajukan sebagai pusat aeroangkasa yang terbesar di rantau ini tidak lama lagi.

“Kerana itu saya nak ingatkan, kalau ada orang datang dan tawarkan harga lumayan sekarang ini, jangan jual. Ini kerana tempat kita ini akan dimajukan oleh Kerajaan Pusat sebagai pusat aeroangkasa.

“Nanti akan ada limpahan ekonomi yang menawarkan pelbagai peluang yang kita sendiri boleh mendapat manfaat. Kita jangan berfikiran singkat dan ingat nak untung cepat. Apabila projek itu siap nanti, nilai hartanah di kawasan ini akan meningkat, peluang-peluang perniagaan untuk jualan barangan dan perkhidmatan akan terbuka luas,” kata YB Dato’ di majlis pecah tanah projek Bandar Utama Subang, Khamis lalu.

Bandar Utama Subang adalah projek perbandaran bercampur yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri melalui Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dengan kerjasama Gaya Irama Development Sdn Bhd.

Projek itu akan dijalankan di tapak Pekan Subang sekarang yang meliputi kawasan seluas dua hektar dan menempati lima blok kedai dan pangsapuri, tempat letak kereta empat tingkat dengan pasar basah di tingkat bawah serta stesen janakuasa dan loji pembetungan.

Projek itu dijangka siap dalam tempoh 24 bulan dengan nilai pembangunan kasar antara RM40 juta hingga RM45 juta.

Projek Bandar Utama Subang dijalankan atas dasar penswastaan dengan Kerajaan Negeri menyumbang tanah untuk dimajukan syarikat terbabit sebagai pertukaran bagi pembinaan pasar basah dan sekolah rendah di Seksyen U5, Subang Bestari.

Adalah dijangka bahawa pada tahun 2009 nanti, wajah Pekan Subang yang ada sekarang akan diganti sepenuhnya dengan lanskap perbandaran dan perumahan yang lebih sofistikated.
Bandar Utama Subang juga sekaligus akan menjadi tumpuan dan pusat bagi segala kegiatan ekonomi dan sosial para penduduk dari serata kawasan sekitarnya.

Sehubungan itu, sebagaimana kebiasaannya, YB Dato’ sekali lagi mengulangi gesaan supaya penduduk kawasan Subang bersiap sedia menghadapi perubahan tersebut kerana kejiranan mereka sudah tentu tidak dapat bertahan selamanya menghadapi arus kemajuan yang begitu pesat melanda kawasan tersebut.

Monday, July 16, 2007

DISIPLINKAN DIRI SEBELUM DISIPLINKAN ANAK - YB DATO'

Kita semua ada impian ... bertindaklah segera untuk mencapainya sebelum terlambat!

YB Dato' bersama Lt. Kol. Samir (baju putih) dan AJK PIBG SK TUDM Subang.


Kaum ibu begitu khusyuk memberi perhatian pada ucapan YB Dato'.

Sebahagian peserta Kursus Kemahiran Keibubapaan anjuran PIBG SK. TUDM Subang.

RAMAI ibu bapa tidak sedar akan kesilapan yang paling kerap mereka lakukan ialah cuba mendisiplinkan anak-anak tetapi tidak pernah cuba untuk mendisiplinkan diri sendiri.

Melontarkan pandangan itu sebagai poin untuk bermuhasabah diri di hadapan kira-kira 200 ibu bapa sempena Bengkel Kemahiran Keibubapaan 2007 anjuran Biro Pendidikan PIBG Sek. Keb. TUDM Subang 14 Julai lalu, YB Dato’ berkata, ibu bapanya sepatutnya membetulkan diri sendiri terlebih dahulu untuk menjadikan diri mereka contoh ikutan anak-anak.

“Anak-anak zaman sekarang sudah semakin bijak … bukan macam dahulu lagi. Sekarang sudah tak boleh pakai lagi kalau setakat nak dididik anak-anak dengan kata-kata. Mereka sudah berani mempertikai kalau apa yang disuruh ibu bapa kepada mereka, ibu bapa sendiri pun tak buat,” kata YB Dato’.

“Kerana itu, sebelum suruh mereka buat, kita sendiri yang kena buat dulu. Kalau tidak, siaplah bersoal jawab,” katanya lagi.

Pandangan YB Dato’ itu ternyata begitu menarik perhatian hadirin apabila ramai ibu bapa dilihat mengangguk-angguk seakan baru tersedar tentang sesuatu yang sememangnya sudah lama diabaikan.

Sebagai contoh, kata YB Dato’ lagi, ramai ibu bapa yang menetapkan jadual tertentu untuk anak-anak seperti masa untuk mengulang kaji, mengaji dan sebagainya.

“Tapi saya percaya, ramai pula kaum bapa sendiri yang tidak ada jadual. Mereka bebas buat sesuatu dengan sesuka hati, bersembang di kedai kopi sampai larut malam. Kalau begini sikap bapa, macam mana anak-anak nak terima arahan mereka dengan hati yang penuh kerelaan?” katanya.

Sebaliknya, kata YB Dato’ lagi, ibu bapa harus menunjukkan sifat yang mengambil berat terhadap pelajaran anak-anak, termasuk dengan cara memeriksa atau memberi perhatian terhadap buku-buku sekolah mereka.

“Kena ambil tahu … tak boleh biarkan anak-anak saja buat homework di dalam bilik sementara mak ayah senang lenang tengok TV di ruang tamu. Walaupun tidak sepenuhnya tapi kena tengok-tengok juga, kena concern dan komited,” pesan YB Dato’.

Selain itu, YB Dato’ juga mengingatkan bahawa peluang untuk makan bersama di kalangan ahli keluarga adalah ruang terbaik untuk memupuk kemesraan sesama sendiri. “Cuba galakkan yang ini! Saya kalau boleh nak tengok semua keluarga di DUN Kota Damansara dan Parlimen Subang amalkan amalan-amalan kekeluargaan yang baik seperti ini,” katanya.

Selain makan bersama, amalan solat berjemaah juga perlu diamalkan. Kalau tak dapat setiap waktu, satu waktu pun jadilah!

YB Dato’ juga cuba mengingatkan bahawa setiap ibu bapa perlu mempunyai dreams atau impian.

“Impian mesti dicapai dan untuk mencapainya, kita perlu amalkan sikap yang positif, berfikiran positif, bekerja kuat dan sebagainya. Ini bukan masa untuk main-main lagi. Cabaran globalisasi semakin kuat dan dahsyat. Macam mana anak cucu kita nak hidup senang kalau dari sekarang kita tidak didik mereka dengan amalan-amalan yang baik untuk mencapai kejayaan gemilang dalam hidup?” katanya.

“Semua impian ini perlu diterjemahkan dengan perbuatan, sikap, nilai dan tindakan yang betul. Kalau tidak, impian akan kekal sebagai impian dan ia tidak membawa sebarang makna selagi kita tidak berjaya merealisasikannya.”

Turut hadir pada majlis tersebut, YDP PIBG SK TUDM Subang, Lt. Kol. Samir Abas dan Guru Besar SK TUDM Subang, Hajah Sarminah Haji Saradi.

Ketua Unit Kaunseling Jabatan Pendidikan Selangor, Haji Zailan Wagimin diundang menyampaikan ceramah yang bertajuk ‘Mendidik Anak Ke Arah Kecemerlangan’.


YB'S DREAMS: MASJID TUMPUAN SEMUA KAUM, AGAMA AKAN DIREALISASIKAN DI KD

YB Dato' menyempurnakan upacara pelancaran kerja projek Masjid Kota Damansara Sabtu lalu.

YB Dato' bersama pemimpin-pemimpin masyarakat KD yang sudah sekian lama menanti kewujudan masjid yang serba lengkap lagi sempurna.



Kita harus ubah persepsi sempit masyarakat terhadap fungsi masjid - YB Dato'.




YB Dato' diiringi kontraktor dan JK Pembinaan Masjid Kota Damansara meninjau dari dekat progres pembinaan masjid berkenaan.




Penduduk Kota Damansara lega kerana impian untuk beribadah dan beraktiviti di masjid yang sempurna dan selesa akan menjadi kenyataan tidak lama lagi.

BEBERAPA tahun akan datang … anda mungkin akan mengunjungi sebuah masjid yang sangat lain daripada yang lain. Di perkarangan masjid itu, ada beberapa buah kedai atau mini market yang sangat meriah kerana dikunjungi begitu ramai pelanggan hampir setiap masa.

Lanskap atau tamannya pula sangat menarik dengan pelbagai jenis tanaman dan hiasan. Pengunjungnya pula seratus peratus bersopan dan mematuhi peraturan, baik dari segi pakaian mahupun tingkah laku.

Itu adalah pemandangan yang sangat sempurna tetapi yang lebih istimewanya lagi, di perkarangan masjid itu bukan hanya ada wajah satu atau dua bangsa tetapi pelbagai keturunan. Lebih-lebih lagi istimewa, pelbagai agama.

“Inilah dreams atau impian yang kita nak tengok pada masjid baru kita ini. Masjid tidak boleh lagi dibelenggu dengan persepsi lama, tempat yang hanya semata-mata untuk beribadat, solat jemaah, berkuliah dan menguruskan jenazah.”

“Masjid sebaliknya perlu dijadikan tumpuan seberapa ramai orang … bukan semata-mata orang Islam. Dengan itu, masjid tidak lagi akan menjadi tempat yang menakutkan dan perlu dijauhi oleh orang bukan Islam, apatah lagi orang Islam sendiri,” katanya.

Atas sebab itu, YB Dato’ melihat bahawa aktiviti masjid perlu dipelbagaikan selagi tidak melanggar batasan.

“Perlu ada kedai, perlu ada lanskap yang menarik, perlu ada kemudahan yang bertaraf ‘world class’ seperti keperluan ICT, ada tempat untuk bersembang dan beramah mesra, ada kedai kopi di perkarangannya.”

“Kita tak boleh sekat orang untuk bersantai di kawasan masjid kerana itu boleh menjauhkan minat untuk orang mendekati masjid. Kita sebaliknya perlu jadikan masjid tempat yang ‘happening’ … barulah ramai orang berminat nak datang,” katanya lagi.

YB Dato’ menzahirkan impian itu di majlis pelancaran kerja membina Masjid Kota Damansara di Seksyen 5 di sini. Masjid dua tingkat yang dibina dengan kos RM5.4 juta itu mampu menampung sehingga dua ribu jemaah pada satu-satu masa.

Dalam pada itu, YB Dato’ turut mengingatkan bahawa pembangunan pesat yang melanda Kota Damansara dengan pelbagai binaan projek mewah dan berprestij di sekeliling kawasan masjid itu tidak harus dibiar dengan mengekalkan institusi masjid terus kekal dengan imej konvensionalnya.

“Masjid Kota Damansara harus ‘bersaing’ dengan kompleks-kompleks ini. Sebab itu, saya mahu ia berciri sofistikated, moden, indah dan mengharmonikan. Islam sendiri adalah agama yang progresif dan proaktif kerana itu kita tidak harus memencilkan fungsi masjid dengan kefahaman dan persepsi sempit yang kita pegang selama ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Masjid Kota Damansara, Tuan Haji Shakir Hussein dalam ucapannya yang terdahulu menyatakan pihaknya memang senada dan seiring dengan kehendak YB Dato’ dalam hal itu.


“Kami akan bekerja keras untuk merealisasikan hasrat YB Dato’untuk melihat masjid ini menjadi tumpuan semua kaum dan agama dengan segala kemudahan dan tarikan. Sesungguhnya, ini adalah manifestasi pada dreams atau impian YB Dato’ sendiri setelah usaha YB Dato’ memperjuangkan tanah kubur untuk penduduk Kota Damansara sejak sepuluh tahun lalu telah membuahkan kejayaan sejak bulan April lepas," katanya.


Friday, July 13, 2007

LAYANAN BAIK YB DATO' PIKAT HATI 4 SAUDARA BARU

YB Dato' menyampaikan sumbangan kepada Sdr. Abdul Rahman.

Muhammad Ali malu-malu menerima pemberian YB Dato'.


YB Dato', Tuan Haji Ali (baju biru) dan Sdr. Zainuddin Mat Teh, Pengerusi Surau Gugusan Kantan bergambar kenangan bersama saudara-saudara baru.


Abdul Rahim mengucap dua kalimah syahadat di hadapan pegawai JAIS sambil disaksikan YB Dato'.

Para saudara baru bersama ahli jemaah Surau Gugusan Kantan.


Setiap orang Islam wajib berdakwah dengan keperibadian sendiri, pesan YB Dato'.


Kita semua bersaudara ... cubit paha kanan, paha kiri terasa sakit.



BERDAKWAH bukan mesti dengan pujuk rayu, apatah lagi memaksa. Dakwah yang paling berkesan sebaliknya adalah dengan menjaga tingkah laku, bersopan santun, saling menghormati dan juga sayang menyayangi dengan seikhlas hati sesama manusia tanpa mengira rupa, darjat atau warna kulit.
“Itulah dakwah dalam ertikata sebenar sebagaimana yang diajar oleh Nabi,” kata YB Dato’ dalam ucapan ringkas sempena majlis pengislaman empat saudara baru – Abdul Rahman, 18; Abdul Rahim, 33; Muhammad Ali, 12, dan Shahidah Abdullah – malam 10 Julai lalu. Majlis tersebut diadakan di Surau Gugusan Kantan, Seksyen 7.

Kata YB Dato’ lagi, setiap orang Islam harus menjadi ejen pendakwah untuk menonjolkan kesucian, kesempurnaan dan kelebihan Islam berbanding lain-lain kepercayaan kerana itulah Islam yang sebenarnya.

“Kita tak boleh tersilap dalam hal ini. Islam tak pernah ajar kita bunuh orang, mengganas dan sebagainya sebaliknya Islam mengajar kita gaya hidup yang harmoni, hormat menghormati, rajin berusaha, Bantu membantu dan berkasih sayang antara satu sama lain.”

“Saya percaya, kalau setiap orang ada kesedaran tentang tanggung jawab ini, tiap-tiap hari akan ada saudara baru peluk agama Islam,” ujarnya.

Berkenaan empat saudara baru itu, YB Dato’ berkata, lebih kurang tiga minggu lalu, beliau dikunjungi mereka di pejabatnya memohon bantuan kerana kesempitan hidup.

“Saya gembira kerana mendapat kepercayaan mereka dan ini satu peluanguntuk saya berbuat baik sesama manusia. Saya terima kunjungan mereka dengan baik dan saya bantu mana yang termampu. Syukur kepada Tuhan kerana kebaikan yang kita tunjukkan rupa-rupanya telah membuka pintu hati mereka untuk menganut agama Islam,” katanya.

YB Dato’ yang turut menjadi saksi upacara melafaz dua kalimah syahadah oleh saudara-saudara baru itu juga berulang kali mengingatkan pemimpin dan anggota masyarakat setempat supaya tidak mengabaikan mereka di kemudian hari.

“Mulai hari ini, mereka telah menjadi saudara seagama dengan kita maka adalah menjadi tanggung jawab setiap dari kita untuk menjaga kebajikan mereka,” katanya.

Dalam majlis yang sama, YB Dato’ turut mengumumkan perlantikan Pegawai Khas Agama DUN Kota Damansara, Tuan Haji Ali sebagai ‘bapa angkat’ kepada keempat-empat saudara baru itu.

Sunday, July 8, 2007

BELAJAR SILAT BUKAN UNTUK JADI SAMSENG - YB DATO'

YB Dato' bergambar kenangan bersama mahaguru, guru-guru dan pelajar seni Silambam.
Belajar seni seperti ini akan lebih mendisiplinkan diri - YB Dato'.

YB Dato' dipakaikan pakaian tradisi masyarakat India sebagai tanda penghormatan oleh mahaguru Silambam.

MEMPELAJARI seni mempertahankan diri warisan bangsa harus menjadi keutamaan setiap ibu bapa.

YB Dato’ sewaktu menyampaikan pesanan berkenaan, berkata seni pertahanan diri warisan bangsa, selagi tidak disalah guna tidak ada yang mengajar pengamalnya menjadi samseng sebaliknya sentiasa menekankan aspek disiplin diri yang tinggi.

“Orang yang benar-benar mengamalkan seni pertahanan diri akan sentiasa berdisiplin dalam setiap aspek hidupnya, bukan hanya di gelanggang sahaja,” kata YB Dato’ lagi.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri program Seni Silamban, seni mempertahankan diri warisan kaum India di Dewan Komunit Seksyen 7, Kota Damansara, baru-baru ini.

YB Dato’ turut mengalu-alukan ibu bapa yang memberi sokongan kepada anak-anak mereka menyertai program seumpama itu dengan menyatakan bahawa mereka telah membuat keputusan yang betul untuk mendisiplinkan sekaligus menyelamatkan masa hadapan anak-anak mereka.

“Sentiasa ingatkan anak-anak anda bahawa belajar martial arts seperti ini bukan untuk pukul orang. Lagi tinggi mereka belajar, mereka akan lebih berdisiplin asal kita selalu beri galakkan dan peringatan,” katanya.


BELIA WADAH LATIH PEMIMPIN MASA HADAPAN

YB Dato' menyampaikan ucapan perasmian Hari Perpaduan Belia anjuran Belia 4B.

YB Dato' menyaksikan pameran sempena Hari Perpaduan Belia ajuran Belia 4B.


YB Dato' terpegun dengan demonstrasi Jabatan Bomba dan Penyelamat.


Pengerusi Belia 4B Subang, sdr. Rafiq Abdullah antara yang mengambil peluang menjalani pemeriksaan kesihatan.

PERTUBUHAN – pertubuhan belia harus menjadi wadah yang terbaik untuk melatih pemimpin masa hadapan. Demikian pandangan YB Dato’ yang disuarakan dalam ucapan perasmian Hari Perpaduan Belia anjuran Pertubuhan Belia 4B di Gugusan Siantan, baru-baru ini.

Sehubungan itu, kata YB Dato’ lagi, pemimpin-pemimpin belia harus komited dan senada dengan gagasan pucuk pimpinan negara supaya mereka tidak tergelincir dari landasan yang sudah dibentang untuk melatih mereka dalam kepimpinan.

“Inilah harapan saya untuk pertubuhan belia di kawasan Subang ini.Belia harus membuktikan bahawa mereka cukup berkeupayaan dan berkelayakan untuk mengambil alih kepimpinan pada masa hadapan,” katanya.

Selain itu, kata YB Dato’ lagi, untuk menjadi pemimpin, kepimpinan belia di semua peringkat harus mempunyai pengikut atau ahli yang sedia mengiktiraf dan menghayati kepimpinan mereka.

“Ahli-ahli ini pula perlu bersedia untuk bersama-sama menjalankan aktiviti –aktiviti dan sebarang agenda perjuangan yang telah ditetapkan oleh kepimpinan. Tiada makna kita jadi pemimpin andai tidak ada orang yang mahu ikut kita,” katanya.

Turut sama hadir dalam majlis tersebut pemimpin-pemimpin masyarat dan agensi kerajaan dari seluruh Daerah Petaling dan kawasan Parlimen Subang.

Antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan sempena sambutan Hari Perpaduan Belia anjuran Belia 4B itu ialah demonstrasi Jabatan Bomba dan Penyelamat, pameran oleh PDRM, pemeriksaan kesihatan oleh Jabatan Kesihatan Daerah Petaling, pameran RELA dan lain-lain.

ZIARAH PRIHATIN YB DATO' TITISKAN AIR MATA WARGA ISTIMEWA SUBANG

Puan Noriah menerima sumbangan daripada YB Dato'.

Bertanya khabar keadaan seorang warga emas yang diziarahi di Taman Subang Baru.


YB Dato' menyampaikan sumbangan kepada Sdr. Abdul Mutalib yang menderitai penyakit jantung.

Bergambar beramai-ramai bersama keluarga Ayah Cu dan Makcik Yah.

YB Dato' menghulur sumbangan kepada seorang anak istimewa.


Menyampaikan sumbangan kepada seorang lagi warga emas.


Mendoakan kesejahteraan salah seorang nenek yang dikunjungi.


Puan Noriah tidak dapat menahan rasa terharu menerima kunjungan YB Dato'.

HANYA titisan air mata yang dapat mengganti ucapan terima kasih atas keprihatinan YB Dato’ yang sudi menziarahi dan mendoakan kesejahteraan mereka.

Itulah reaksi sebahagian daripada tujuh warga emas Kampung Melayu Subang dan Taman Subang Baru yang rata-ratanya berada dalam keadaan uzur ketika diziarahi YB Dato’ baru-baru ini.

Antara mereka, ada yang pernah bergelar aktivis masyarakat di zaman sihat dan cergas dahulu. Ini termasuk Tuan Haji Nasit Abu yang pernah menjadi siak Masjid An Nur, Kampung Melayu Subang, suatu ketika dulu.

Sdr. Abdul Mutalib Abdul Hamid yang menetap di Taman Subang Baru pula, dulu adalah Setiausaha UMNO Cawangan Kampung Subang.

Walaupun usianya baru di peringkat pertengahan, namun penyakit lemah jantung yang dihadapinya telah menghalang beliau untuk terus bergerak cergas seperti dahulu. Beliau terpaksa bergantung pada bantuan bateri untuk membolehkan jantungnya berfungsi pada keadaan yang tertentu.

Turut dikunjungi Puan Noriah Abdul Hamid yang menderita barah payudara selain pasangan Hasan Haji Amid yang lebih dikenali dengan panggilan Ayah Cu dan Sareah Musa @ Mak Cik Yah di Jalan Jati, Kampung Melayu Subang. Anak pasangan itu, Sdr. Zainal Amir @ Atan pula menderita penyakit gout.

Dalam setiap kunjungan itu, YB Dato’ menyampaikan sumbangan peribadi dan juga sumbangan daripada JKKK Kampung Melayu Subang.



YB DATO' PUJI SEMANGAT, PENGORBANAN PENDUDUK U5

YB Dato' menghulur sumbangan peribadi kepada Encik Ramli untuk menampung kos pembinaan surau Pangsapuri Jasmin U5, Pinggiran Subang.

YB Dato' bersama pegawai khas agama, TuanHaji Ali dan Encik Ramli serta-rakan lain bergambar kenangan di hadapan Surau Pangsapuri Jasmin, Seksyen U5, Pinggiran Subang yang sudah lebih separuh siap.

YB Dato' meninjau pembinaan Surau Pangsapuri Jasmin U5, Pinggiran Subang.

YB Dato' ternyata begitu tertarik dengan sikap dan pengorbanan muslimin muslimat kawasan perumahan Jasmin, Seksyen U5 Pinggiran Subang yang telah berusaha sendiri mengumpul dana bagi membangunkan surau untuk kemudahan mereka beribadah.

Usaha dan semangat untuk menunaikan tuntutan agama seperti itu sememangnya wajar mendapat pujian. Mereka memilih jalan untuk tidak mengharap peruntukkan kerajaan kerana sedar, pengorbanan bagi tujuan agama seperti itu sudah tentu tidak sia-sia dan akan ada ganjarannya.

YB Dato’ juga tidak melontar pujian kosong. Sebagai menghargai pengorbanan dan membakar lagi semangat kerjasama di kalangan penduduk U5, YB Dato’ sendiri telah menghulur sumbangan peribadi sebagai RM10,000 bagi membiayai pembinaan surau itu yang keseluruhannya menelan belanja sekitar RM60, 000.

Bukan itu sahaja, YB Dato’ juga turut memuji senhibina surau tersebut yang baginya cukup unik, selesa dan paling istimewa dibina dengan kos yang agak minima.

“Saya harap, penduduk-penduduk di tempat lain juga akan mencontohi sikap dan semangat saudara-saudara kita di U5 ini,” kata YB Dato’ ketika meninjau projek pembinaan surau berkenaan, baru-baru ini.


SUBANG PERDANA DAPAT MASJID RM3.6 JUTA

YB Dato' diberi penerangan tentang kaedah menentukan arah kiblat.

YB Dato' cuba menggunakan alat yang diguna bagi menentukan arah kiblat.


YB Dato' menggunakan jenkaut di upacara memulakan pelancaran kerja projek membina Masjid Subang Perdana. Turut sama YB Ir. Muhammad Bushro, ADUN Paya Jaras yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Subang.


Bersama YB Ir. Muhammad Bushro di upacara pelancaran kerja projek pembinaan Masjid Subang Perdana.


MUSLIMIN muslimat di Subang Perdana 1 dan Subang Perdana 2 juga kawasan-kawasan lain di sekitarnya, kini sudah boleh menarik nafas lega apabila sebuah masjid yang mampu memuatkan lebih kurang 1,300 jemaah akan dibina untuk kemudahan mereka.

Kos keseluruhan pembinaan masjid tersebut dianggarkan sekitar RM3.6 juta.

Baru-baru ini, telah berlangsung upacara pelancaran kerja pembinaan Masjid Subang Perdana yang disempurnakan oleh YB Dato’.

Antara lain, YB Dato’ mengingatkan umat Islam di Subang Perdana menjadikan masjid itu sebagai simbol perpaduan dan pusat keunggulan untuk memajukan lagi diri mereka sebagaimana yang diajar oleh baginda Rasulullah S.A.W.

“Umat Islam adalah umat yang terbaik. Kerana itu, kita harus menjadikan masjid sebagai pusat untuk memajukan diri sebagaimana legasi yang ditinggalkan oleh Nabi. Untuk itu, saya menyeru semua muslimin dan muslimat di Subang Perdana ini khususnya supaya komited untuk mengimarahkan masjid yang akan dibina ini dengan pelbagai aktiviti yang bermanfaat,” pesan YB Dato’.

Sunday, July 1, 2007

AYAH ATIQ WAZIF TITIS AIR MATA TERHARU

YB Dato' memberi kata-kata semangat kepada keluarga Atiq Wazif supaya tabah menghadapi ujian.


YB Dato' ternyata begitu mengambil berat akan masalah dihadapi anak istimewa ini.

Sdr. Hasan Suyut tidak dapat menahan sebak ketika ditemubual wartawan RTM. Temubual ini disiarkan dalam berita RTM1 pada 26 Jun 2007.

BAGAI mengganti ucapan terima kasih yang sudah tidak termampu untuk diucap dengan kata-kata, titisan air mata yang tidak dapat dibendung adalah reaksi seorang ayah, Sdr. Hasan Suyut atas keprihatinan YB Dato’ terhadap masalah dihadapi untuk membiayai kos rawatan anaknya.

Sdr. Hasan ternyata tidak mampu menahan rasa sebak terutama ketika ditemubual wartawan RTM yang mengunjungi keluarga itu bersama YB Dato’ sehari sebelum dia membawa anaknya, Atiq Wazif berangkat ke Amerika Syarikat untuk menjalani rawatan bagi masalah Global Developmental Delay (GDD) yang dihadapi anaknya.

Tidak hairanlah mengapa Sdr. Hasan berasa begitu terharu kerana itulah lawatan kali kedua YB Dato’ dalam tempoh seminggu selepas mendapat maklumat mengenai masalah kesihatan kronik yang dihadapi kanak-kanak tersebut.

Meskipun begitu sibuk kerana terpaksa memenuhi pelbagai undangan dan lawatan yang tertangguh kerana menyertai tugasan rasmi bersama YAB Dato’ Seri Menteri Besar ke luar negara sebelum itu, YB Dato’ ternyata tidak melupai janjinya kepada Atiq Wazif.

Ini kerana dalam kunjungan kali pertama sebelum itu, YB Dato’ menyatakan hasrat untuk mengunjungi Atiq sekali lagi sebelum dia dan ayahnya berangkat ke Amerika Syarikat.

Dalam kunjungan kali kedua ini, YB Dato’ sekali lagi menghulurkan sumbangan peribadi bagi membantu membiayai kos rawatan kanak-kanak itu.

Sementara itu, dalam e-mel yang diutuskan oleh ayah kanak-kanak itu beberapa hari lalu, dikatakan bahawa proses rawatan kanak-kanak yang itu yang menggunakan kaedah ‘thera suit’ berjalan lancar di bawah pengawasan pakar.

Hasan bagi pihak keluarganya juga menyampaikan salam takzim kepada YB Dato’ dan seluruh pemimpin dan anggota masyarakat DUN Kota Damansara yang telah melawat dan memberi sumbangan meringankan beban mereka.

Dijangkakan, Atiq bersama keluarganya akan berada di sana selama kira-kira lima bulan untuk proses rawatan intensif tersebut.

Ini adalah sesi terapi kali kedua dijalani oleh kanak-kanak daripada keseluruhan empat sesi yang perlu dijalani sebagaimana yang dinasihatkan oleh pakar-pakar di pusat berkenaan.

Anggaran belanja bagi setiap sesi adalah sekitar RM100, 000 dan difahamkan keluarga itu masih memerlukan sumbangan RM200,000 lagi untuk kos dua sesi berikut.

Justeru bagi sesiapa yang berhasrat untuk menyumbang boleh berhubung terus dengan ayah Atiq, Sdr. Hasan bin Suyut di talian 012-2093374 atau terus ke akaun Maybank 1641-0020-3707 atas nama Hasan Suyut (No. KP 661204-01-5991.

Atas segala sumbangan atau doa bagi pemulihan Atiq Wazif, diucapkan jutaan terima kasih!