Monday, July 16, 2007

DISIPLINKAN DIRI SEBELUM DISIPLINKAN ANAK - YB DATO'

Kita semua ada impian ... bertindaklah segera untuk mencapainya sebelum terlambat!

YB Dato' bersama Lt. Kol. Samir (baju putih) dan AJK PIBG SK TUDM Subang.


Kaum ibu begitu khusyuk memberi perhatian pada ucapan YB Dato'.

Sebahagian peserta Kursus Kemahiran Keibubapaan anjuran PIBG SK. TUDM Subang.

RAMAI ibu bapa tidak sedar akan kesilapan yang paling kerap mereka lakukan ialah cuba mendisiplinkan anak-anak tetapi tidak pernah cuba untuk mendisiplinkan diri sendiri.

Melontarkan pandangan itu sebagai poin untuk bermuhasabah diri di hadapan kira-kira 200 ibu bapa sempena Bengkel Kemahiran Keibubapaan 2007 anjuran Biro Pendidikan PIBG Sek. Keb. TUDM Subang 14 Julai lalu, YB Dato’ berkata, ibu bapanya sepatutnya membetulkan diri sendiri terlebih dahulu untuk menjadikan diri mereka contoh ikutan anak-anak.

“Anak-anak zaman sekarang sudah semakin bijak … bukan macam dahulu lagi. Sekarang sudah tak boleh pakai lagi kalau setakat nak dididik anak-anak dengan kata-kata. Mereka sudah berani mempertikai kalau apa yang disuruh ibu bapa kepada mereka, ibu bapa sendiri pun tak buat,” kata YB Dato’.

“Kerana itu, sebelum suruh mereka buat, kita sendiri yang kena buat dulu. Kalau tidak, siaplah bersoal jawab,” katanya lagi.

Pandangan YB Dato’ itu ternyata begitu menarik perhatian hadirin apabila ramai ibu bapa dilihat mengangguk-angguk seakan baru tersedar tentang sesuatu yang sememangnya sudah lama diabaikan.

Sebagai contoh, kata YB Dato’ lagi, ramai ibu bapa yang menetapkan jadual tertentu untuk anak-anak seperti masa untuk mengulang kaji, mengaji dan sebagainya.

“Tapi saya percaya, ramai pula kaum bapa sendiri yang tidak ada jadual. Mereka bebas buat sesuatu dengan sesuka hati, bersembang di kedai kopi sampai larut malam. Kalau begini sikap bapa, macam mana anak-anak nak terima arahan mereka dengan hati yang penuh kerelaan?” katanya.

Sebaliknya, kata YB Dato’ lagi, ibu bapa harus menunjukkan sifat yang mengambil berat terhadap pelajaran anak-anak, termasuk dengan cara memeriksa atau memberi perhatian terhadap buku-buku sekolah mereka.

“Kena ambil tahu … tak boleh biarkan anak-anak saja buat homework di dalam bilik sementara mak ayah senang lenang tengok TV di ruang tamu. Walaupun tidak sepenuhnya tapi kena tengok-tengok juga, kena concern dan komited,” pesan YB Dato’.

Selain itu, YB Dato’ juga mengingatkan bahawa peluang untuk makan bersama di kalangan ahli keluarga adalah ruang terbaik untuk memupuk kemesraan sesama sendiri. “Cuba galakkan yang ini! Saya kalau boleh nak tengok semua keluarga di DUN Kota Damansara dan Parlimen Subang amalkan amalan-amalan kekeluargaan yang baik seperti ini,” katanya.

Selain makan bersama, amalan solat berjemaah juga perlu diamalkan. Kalau tak dapat setiap waktu, satu waktu pun jadilah!

YB Dato’ juga cuba mengingatkan bahawa setiap ibu bapa perlu mempunyai dreams atau impian.

“Impian mesti dicapai dan untuk mencapainya, kita perlu amalkan sikap yang positif, berfikiran positif, bekerja kuat dan sebagainya. Ini bukan masa untuk main-main lagi. Cabaran globalisasi semakin kuat dan dahsyat. Macam mana anak cucu kita nak hidup senang kalau dari sekarang kita tidak didik mereka dengan amalan-amalan yang baik untuk mencapai kejayaan gemilang dalam hidup?” katanya.

“Semua impian ini perlu diterjemahkan dengan perbuatan, sikap, nilai dan tindakan yang betul. Kalau tidak, impian akan kekal sebagai impian dan ia tidak membawa sebarang makna selagi kita tidak berjaya merealisasikannya.”

Turut hadir pada majlis tersebut, YDP PIBG SK TUDM Subang, Lt. Kol. Samir Abas dan Guru Besar SK TUDM Subang, Hajah Sarminah Haji Saradi.

Ketua Unit Kaunseling Jabatan Pendidikan Selangor, Haji Zailan Wagimin diundang menyampaikan ceramah yang bertajuk ‘Mendidik Anak Ke Arah Kecemerlangan’.


0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home