Monday, July 23, 2007

PEKAN SUBANG BAKAL BERWAJAH BARU

TUAN-tuan punya tanah di sekitar Subang DIINGATKAN supaya tidak sekali-kali menjual tanah mereka sekalipun ditawar harga yang lumayan.

Ingatan itu disuarakan YB Dato’ atas sebab kawasan di sekitar tapak bekas lapangan terbang utama negara itu akan dimajukan sebagai pusat aeroangkasa yang terbesar di rantau ini tidak lama lagi.

“Kerana itu saya nak ingatkan, kalau ada orang datang dan tawarkan harga lumayan sekarang ini, jangan jual. Ini kerana tempat kita ini akan dimajukan oleh Kerajaan Pusat sebagai pusat aeroangkasa.

“Nanti akan ada limpahan ekonomi yang menawarkan pelbagai peluang yang kita sendiri boleh mendapat manfaat. Kita jangan berfikiran singkat dan ingat nak untung cepat. Apabila projek itu siap nanti, nilai hartanah di kawasan ini akan meningkat, peluang-peluang perniagaan untuk jualan barangan dan perkhidmatan akan terbuka luas,” kata YB Dato’ di majlis pecah tanah projek Bandar Utama Subang, Khamis lalu.

Bandar Utama Subang adalah projek perbandaran bercampur yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri melalui Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dengan kerjasama Gaya Irama Development Sdn Bhd.

Projek itu akan dijalankan di tapak Pekan Subang sekarang yang meliputi kawasan seluas dua hektar dan menempati lima blok kedai dan pangsapuri, tempat letak kereta empat tingkat dengan pasar basah di tingkat bawah serta stesen janakuasa dan loji pembetungan.

Projek itu dijangka siap dalam tempoh 24 bulan dengan nilai pembangunan kasar antara RM40 juta hingga RM45 juta.

Projek Bandar Utama Subang dijalankan atas dasar penswastaan dengan Kerajaan Negeri menyumbang tanah untuk dimajukan syarikat terbabit sebagai pertukaran bagi pembinaan pasar basah dan sekolah rendah di Seksyen U5, Subang Bestari.

Adalah dijangka bahawa pada tahun 2009 nanti, wajah Pekan Subang yang ada sekarang akan diganti sepenuhnya dengan lanskap perbandaran dan perumahan yang lebih sofistikated.
Bandar Utama Subang juga sekaligus akan menjadi tumpuan dan pusat bagi segala kegiatan ekonomi dan sosial para penduduk dari serata kawasan sekitarnya.

Sehubungan itu, sebagaimana kebiasaannya, YB Dato’ sekali lagi mengulangi gesaan supaya penduduk kawasan Subang bersiap sedia menghadapi perubahan tersebut kerana kejiranan mereka sudah tentu tidak dapat bertahan selamanya menghadapi arus kemajuan yang begitu pesat melanda kawasan tersebut.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home