Sunday, July 1, 2007

AYAH ATIQ WAZIF TITIS AIR MATA TERHARU

YB Dato' memberi kata-kata semangat kepada keluarga Atiq Wazif supaya tabah menghadapi ujian.


YB Dato' ternyata begitu mengambil berat akan masalah dihadapi anak istimewa ini.

Sdr. Hasan Suyut tidak dapat menahan sebak ketika ditemubual wartawan RTM. Temubual ini disiarkan dalam berita RTM1 pada 26 Jun 2007.

BAGAI mengganti ucapan terima kasih yang sudah tidak termampu untuk diucap dengan kata-kata, titisan air mata yang tidak dapat dibendung adalah reaksi seorang ayah, Sdr. Hasan Suyut atas keprihatinan YB Dato’ terhadap masalah dihadapi untuk membiayai kos rawatan anaknya.

Sdr. Hasan ternyata tidak mampu menahan rasa sebak terutama ketika ditemubual wartawan RTM yang mengunjungi keluarga itu bersama YB Dato’ sehari sebelum dia membawa anaknya, Atiq Wazif berangkat ke Amerika Syarikat untuk menjalani rawatan bagi masalah Global Developmental Delay (GDD) yang dihadapi anaknya.

Tidak hairanlah mengapa Sdr. Hasan berasa begitu terharu kerana itulah lawatan kali kedua YB Dato’ dalam tempoh seminggu selepas mendapat maklumat mengenai masalah kesihatan kronik yang dihadapi kanak-kanak tersebut.

Meskipun begitu sibuk kerana terpaksa memenuhi pelbagai undangan dan lawatan yang tertangguh kerana menyertai tugasan rasmi bersama YAB Dato’ Seri Menteri Besar ke luar negara sebelum itu, YB Dato’ ternyata tidak melupai janjinya kepada Atiq Wazif.

Ini kerana dalam kunjungan kali pertama sebelum itu, YB Dato’ menyatakan hasrat untuk mengunjungi Atiq sekali lagi sebelum dia dan ayahnya berangkat ke Amerika Syarikat.

Dalam kunjungan kali kedua ini, YB Dato’ sekali lagi menghulurkan sumbangan peribadi bagi membantu membiayai kos rawatan kanak-kanak itu.

Sementara itu, dalam e-mel yang diutuskan oleh ayah kanak-kanak itu beberapa hari lalu, dikatakan bahawa proses rawatan kanak-kanak yang itu yang menggunakan kaedah ‘thera suit’ berjalan lancar di bawah pengawasan pakar.

Hasan bagi pihak keluarganya juga menyampaikan salam takzim kepada YB Dato’ dan seluruh pemimpin dan anggota masyarakat DUN Kota Damansara yang telah melawat dan memberi sumbangan meringankan beban mereka.

Dijangkakan, Atiq bersama keluarganya akan berada di sana selama kira-kira lima bulan untuk proses rawatan intensif tersebut.

Ini adalah sesi terapi kali kedua dijalani oleh kanak-kanak daripada keseluruhan empat sesi yang perlu dijalani sebagaimana yang dinasihatkan oleh pakar-pakar di pusat berkenaan.

Anggaran belanja bagi setiap sesi adalah sekitar RM100, 000 dan difahamkan keluarga itu masih memerlukan sumbangan RM200,000 lagi untuk kos dua sesi berikut.

Justeru bagi sesiapa yang berhasrat untuk menyumbang boleh berhubung terus dengan ayah Atiq, Sdr. Hasan bin Suyut di talian 012-2093374 atau terus ke akaun Maybank 1641-0020-3707 atas nama Hasan Suyut (No. KP 661204-01-5991.

Atas segala sumbangan atau doa bagi pemulihan Atiq Wazif, diucapkan jutaan terima kasih!


0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home