Saturday, August 4, 2007

RM2OO tiap seorang daripada timbalan menteri

Pengumuman YB Dato' Timbalan Menteri disambut dengan tepukan bergemuruh.UMNO sentiasa berjuang untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat tak kira tanpa mengira perbezaan fahaman, kata YB Dato' Ahmad Zahid.

TIMBALAN Menteri Penerangan, YB Dato’ Haji Ahmad Zahid Hamidi berjanjibahawa beliau akan turun semula ke Kota Damansara untuk menanugerahkan RM200 tiap seorang kepada semua 136 peserta kursus Motivasi Kecemerlangan UPSR – Skor 5A yang dianjurkan Biro Pendidikan Pemuda UMNO DUN Kota Damansara baru-baru ini mencapai seratus peratus sasaran.

“Kalau semua 136 peserta kursus ini dapat 5A, saya minta YB Dato’ Mokhtar (ADUN Kota Damansara) segera maklumkan kepada saya … saya akan turun semula untuk beri RM200 tiap seorang.Pakcik janji … pakcik tak tipu, tak boleh tipu sebab masuk TV,” katanya sambil merujuk kepada jurukamera RTM yang berada di hadapannya untuk membuat rakaman ucapan perasmian kursus itu.

Merujuk kepada ucapan YB Dato’ Mokhtar sebelum itu yang memaklumkan kepada hadirin bahawa Selangor pada satu ketika pernah menghimpun 48,000 penduduk setinggan dengan 16,000 daripadanya berada di kawasan Petaling Jaya termasuk Kota Damansara yang sekarang sudah hampir seratus peratus berjaya diselesaikan, YB Dato’ Haji Ahmad Zahid berkata, gejala setinggan wujud kerana berlakunya fenomena mobiliti sosial secara horizontal, tidak secara vertikal.

“Orang berpindah dari kampung-kampung ke kawasan bandar atas faktor ekonomi, mencari pekerjaan dan sebagainya. Bagaimanapun apabila sudah berada di bandar, apa yang mereka dapat tidak cukup untuk menampung kos hidup yang sangat tinggi lalu mereka terpaksa membina rumah di tanah milik kerajaan atau orang lain untuk dijadikan tempat berteduh. Di tempat yang semacam ini, macam-macam masalah baru akan wujud seperti gejala sosial, kehidupan yang tidak selesa dan sebagainya.

“Amat malang sekali apabila mereka yang tinggal di tempat seperti ini kebanyakannya adalah orang kita … sedangkan orang dari kaum lain kebanyakannya tinggal di kawasan perumahan yang mewah dan selesa.

“Ini kerana mereka telah berusaha bersungguh-sungguh untuk memperbaiki taraf hidup dengan mencatat prestasi yang cemerlang dalam pelajaran, pekerjaan dan apa juga usaha ekonomi yang mereka lakukan. Hasilnya, perpindahan mereka adalah mobiliti sosial secara vertikal sedangkan kita secara horizontal,” kata YB Dato’ Haji Ahmad Zahid.

“Saya sendiri, tidak akan jadi timbalan menteri kalau tidak ada pelajaran. YB Dato’ Mokhtar pun tentu tak akan dipilih jadi wakil rakyat kalau tidak ada pelajaran. Kerana itu, sementara masih ada peluang, anak-anak semua tak ada pilihan melainkan kena belajar bersungguh-sungguh demi masa depan diri sendir, agama, bangsa dan juga negara,” katanya.



Jangan ‘berkira’ untuk pelajaran anak …

Dalam memotivasikan ibu bapa pula, YB Dato’ Zahid mengingatkan kaum bapa terutamanya supaya jangan mengamalkan sikap ‘berkira’ untuk berbelanja demi kejayaan anak-anak dalam bidang pelajaran.

“Itu tanggung jawab kita yang nanti akan disoal oleh Tuhan. Saya hairan dengan sikap sesetengah bapa yang sanggup berbelanja sampai RM200 atau RM300 sebulan semata-mata untuk belanja rokok sedangkan untuk yuran tuisyen atau buku pelajaran anak-anak bukan main kedekut,” tegasnya.

1 Comments:

Blogger SH said...

Salam,

Pihak kami serta Jawatankuasa Penduduk PPR KOta Damansara (Seksyen 8) mengambil peluang ini untuk menghebahkan satu aktiviti mengenai silat di KOta Damansara.

Atas kerjasama pihak kami dan Kelab Silat Seni Gayong Subang Jaya (KSSG), satu gelanggang kekal dan khas bagi Silat Seni Gayong telah ditubuhkan di Seksyen 8 bagi melatih Silat Seni Gayong kepada semua warga Kota Damansara yang berminat.

Butiran latihan adalah setiap JUMAAT jam 9.00 MALAM. Tempat gelanggang adalah tepi Blok B PPR Kota Damsanara Seksyen 8.

Yuran tahunan adalah RM15. dan yuran bulanan hanya RM15. Lawati: www.kssgayong.com atau hubungi: 014-9933774 untuk maklumat tambahan.

Sebagaimana matlamat KSSG mereka bukan sahaja menumpukan pada seni silat dan demi kesihatan tetapi berharap dapat membentuk disiplin, ekonomi serta akademik. Kebanyakan pengajar mereka adalah daripada latar belakang akademik dan ekonomi yang baik.

Sila lawati: www.kssgayong.com

Sekian terima kasih.

February 14, 2010 at 4:14 PM  

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home