Saturday, August 4, 2007

RM50,000 BAJET TAMBAHAN UNTUK SUBANG

"UMNO Bahagian akan bekerja keras untuk memastikan kejayaan anak-anak tuan!"

Barisan pimpinan UMNO Bahagian Subang bersama YB Dato' Haji Ahmad Zahid.


YB Dato' Ahmad Zahid, YB Dato' Ketua UMNO Bahagian dan pimpinan UMNO Bahagian bersama calon-calon UPSR anak DUN Kota Damansara.


YB Dato' Ahmad Zahid, YB Dato' Ketua UMNO Bahagian dan pimpinan Pemuda Bahagian semasa sesi sidang media.


Pimpinan Pemuda UMNO Bahagian Subang bersama ibu bapa dan calon-calon UPSR khusyuk mendengar amanat YB Dato' Timbalan Menteri Penerangan.



PARA ibu bapa, pelajar-pelajar sekolah khususnya yang bakal menduduki peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM di seluruh kawasan Parlimen Subang mendapat ‘durian runtuh’ apabila kerajaan bersetuju meluluskan peruntukkan tambahan RM50,000 lagi untuk mencapai jumlah peruntukkan RM100,000 bagi membiayai kursus-kursus motivasi peperiksaan bagi para calon dan juga ibu bapa yang berkenaan.

Timbalan Menteri Penerangan, YB Dato’ Haji Ahmad Zahid Hamidi berkata, peruntukkan itu akan disalurkan melalui Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Negeri Selangor demi mencapai matlamat lebih ramai pelajar di kawasan Parlimen ini akan mencatat kejayaan cemerlang dalam peperiksaan-peperiksaan tersebut.

Beliau mengumumkan perkara itu dalam ucapan perasmian Kursus Kecemerlangan UPSR Anak-Anak DUN Kota Damansara yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Seksyen 7, Kota Damansara, 29 Julai lalu.

Program tersebut dianjurkan Biro Pendidikan Pemuda UMNO DUN Kota Damansara dengan kerjasama JASA dan pentadbiran Sekolah Kebangsaan Seksyen 7.

“Saya akan maklumkan perkara ini kepada Pengarah JASA Negeri Selangor seberapa cepat yang mungkin setelah berasa bangga dan yakin dengan kesungguhan pemimpin-pemimpin di Bahagian ini, khususnya YB Dato’ Ketua UMNO Bahagian (YB Dato’ Mokhtar) sendiri dan Sdr. Megat (Ketua Pemuda UMNO Bahagian Subang) serta seluruh AJKnya yang saya lihat begitu bersungguh-sungguh menganjurkan program seumpama ini dengan cita-cita hendak melihat lebih ramai anak bangsa kita berjaya dengan cemerlang dalam bidang pelajaran,” katanya.

Dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian, YB Dato’ Haji Ahmad Zahid menjelaskan bahawa peluang itu ditawarkan dengan petunjuk bahawa kerajaan bersungguh-sungguh mahu melihat setiap keluarga mampu melahirkan sekurang-kurangnya seorang profesional yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

“Itulah impian kita … dan saya mahu lihat setiap keluarga ada cita-cita dan ada usaha yang bersungguh-sungguh untuk mencapainya,” kata YB Dato’ Haji Ahmad Zahid.

Mengulas pengumuman itu, Ketua UMNO Bahagian Subang yang juga ADUN Kota Damansara, YB Dato’ Haji Mohd Mokhtar Haji Ahmad Dahlan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Pusat, khususnya YB Dato’ Timbalan Menteri Penerangan kerana memberi tambahan peruntukkan itu kepada Subang.

“Saya sambut peluang ini dengan penuh kesyukuran serta berjanji bahawa usaha akan digerakkan oleh UMNO Bahagian untuk memanfaatkan bajet ini dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Sementara Ketua Pemuda, Sdr. Megat Firdouz pula berkata, ‘durian runtuh’ itu menjadi rangsangan yang amat kuat kepada Pemuda untuk lebih menggiatkan program-program pendidikan dan motivasi bukan sahaja kepada para pelajar tetapi juga ibu bapa.

“Kita percaya, hanya melalui pelajaran dan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan akan mengubah nasib sebahagian besar orang Melayu di kawasan bandar yang masih dihimpit kemiskinan. Kita tidak mahu anak-anak yang sedang membesar dan masih mempunyai peluang untuk mengubah nasib hidup dengan pelajaran ini mewarisi kemiskinan ibu bapa mereka untuk memanjangkan lagi senarai orang Melayu merempat di tanah air mereka sendiri,” katanya.


0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home