MIMPI JADI KENYATAAN DI KMST
Muslimin dan muslimat KMST memberi sepenuh tumpuan kepada amanat yang disampaikan pemimpin kesayangan mereka.
Tanda kita bersyukur dan berterima kasih adalah dengan memanfaatkan sebaik-baiknya apa yang diberi kepada kita. Demikian nasihat YB Dato' kepada penduduk KMST.
“PENDUDUK Kampung Melayu Subang Tambahan (KMST) sebenarnya adalah kelompok masyarakat yang istimewa,” kata YB Dato’ dalam ucapan di majlis kesyukuran sempena penganugerahan surat kontrak Projek Infrastruktur Awam (PIA) dan Projek Infrastruktur Asas (PIAS) kepada tujuh kontraktor untuk menjalankan projek-projek pembangunan di KMST, baru-baru ini.
Istimewanya penduduk KMST, kata YB Dato’ lagi adalah kerana sesuatu yang selama ini dianggap mustahil di kalangan anggota masyarakat kampung itu, kini sudah pun menjadi kenyataan.
“Apa yang saya maksudkan adalah mengenai status tanah milik tuan-tuan. Carilah di mana-mana, tidak ada satu kawasan pun yang dulunya adalah perkampungan setinggan, tapi akhirnya penduduk-penduduk diberi hak milik tetap seperti tuan-tuan. Penduduk kawasan setinggan biasanya dipindahkan ke rumah pangsa dengan diberi sedikit diskaun saja tapi tuan-tuan bukan saja tidak dipindahkan bahkan diberi hak milik tanah di mana tuan-tuan menetap sekarang. Itulah yang saya kata istimewa dan mungkin tidak pernah jadi di mana-mana tempaty selain di KMST ini,” katanya.
Tambah YB Dato’ lagi, beliau sendiri selama ini tidak pernah menjangka bahawa usaha dan perjuangan penduduk KMST menuntut hak ke atas tanah tempat tinggal mereka akan membuahkan kejayaan yang ‘semanis’ ini.
“Bagi saya, ini adalah mimpi menjadi kenyataan,” ujarnya.
Kerana itu, kata YB Dato’, penduduk KMST perlu mengekalkan semangat perpaduan dan segala nilai-nilai positif yang dipegang sejak di peringkat awal perjuangan mereka kerana usaha untuk memajukan diri dan masyarakat tidak terhenti dengan pemerolehan hak ke atas tanah tempat tinggal mereka.
“Ia tidak harus berakhir di sini. Usaha mesti diteruskan untuk memajukan lagi kampung tuan-tuan,” kata YB Dato’.
Sebagai tanda kesyukuran kepada Tuhan dan terima kasih kepada kerajaan, YB Dato’ berkata nikmat tersebut harus dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya dengan cara:
- Mengekalkan perpaduan dan kesepakatan sebagaimana yang sudah ditunjukkan dalam usaha menuntut hak milik tanah dahulu.
- Memajukan lagi usaha-usaha ekonomi dengan mengenal pasti potensi IKS yang boleh dikembangkan sebagai sumber pendapatan kepada pelbagai peringkat penduduk dengan menyediakan peluang pekerjaan atau perniagaan.
- Mengambil peluang dengan kedudukan yang hampir dengan tiga bandar raya utama iaitu Kuala Lumpur, Shah Alam dan Petaling Jaya untuk merintis projek bagi industri pelancongan seperti homestay dan sebagainya.
- Mengindahkan lanskap kawasan kampung bermula dengan kediaman sendiri oleh setiap penduduk.
- Menggalakkan semua anggota masyarakat supaya aktif dalam kegiatan-kegiatan kemasyarakatan di semua peringkat.
Untuk rekod, lebih 300 lot tanah di KMST sudah diberi hak milik kepada penduduk kampung oleh kerajaan negeri apabila sebuah syarikat pemaju yang sebelum itu diberi kebenaran untuk memajukan kawasan tersebut gagal membayar premium dalam tempoh yang ditetapkan.
“Inilah yang saya kata, mimpi menjadi kenyataan. Tanah yang sudah diberi kepada orang lain, diambil balik oleh kerajaan negeri untuk beri kepada penduduk kampung. Penduduk KMST tak boleh buat-buat lupa kepada jasa kerajaan yang telah memberikan mereka peluang selumayan ini,” pesan YB Dato’.
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home