Monday, August 13, 2007

DEKATI REMAJA PERLU JADI AGENDA UTAMA

Jangan takut dengan Pakcik Tombiras ni ... dia nampak saja garang tapi sangat baik hati, kata YB Dato'
YB Dato' bergambar kenangan bersama Jawatankuasa Pengelola Liga Sukan Komuniti Taman Subang Baru.
Bersama sebahagian dari anak-anak muda yang menyertai Liga Sukan Komuniti.
YB Dato' kelihatan cukup ceria dan berbangga dapat bersama dengan kelompok masyarakat yang aktif seperti ini.
YB Dato' mengajak para hadirin bersenam sebelum mula bersukan.


APA sahaja cara harus dilakukan untuk mendekatkan golongan remaja dengan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan.

Dengan cara itu, kata YB Dato’, anak-anak muda ini akan sentiasa berasa diri mereka dekat dengan masyarakat, kehadiran mereka bukan sekadar diterima bahkan dialu-alukan dan ini sudah tentu akan menjadi perangsang untuk mereka terus menjalani kehidupan dengan gaya yang sihat dan bermanfaat.

“Kerajaan sudah melaksanakan bermacam-macam program untuk menarik golongan remaja sentiasa hampir dengan masyarakat, Liga Sukan Komuniti – Rakam Muda, Jiran Muda ini salah satu daripadanya.

“Sekarang ini, apa yang perlu ialah tanggung jawab pemimpin-pemimpin masyarakat setempat, pemimpin-pemimpin akar umbi untuk bersama-sama dengan kerajaan melaksanakan program-program ini,” katanya lagi.

YB Dato’ menyatakan demikian ketika merasmikan Program Liga Sukan Komuniti 2007 – Rakan Muda, Jiran Muda anjuran Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga Taman Subang Baru 29 Julai lalu.

“Dalam hal ini, saya mengucapkan syabas kepada Pengerusi Rukun Tetangga Taman Subang Baru, Sdr. Tomberas (Mat Rokyad) yang walaupun wajahnya nampak garang tapi dia sebenarnya seorang yang sangat baik hati dan prihatin akan kebajikan masyarakat setempat termasuk golongan muda.”

YB Dato’ juga turut mengucapkan penghargaan kepada Pengerusi JKKK Kampung Melayu Subang, Tuan Haji Mohd Isa Sahat, seluruh AJK program termasuk Sdr. Zaid dan tidak ketinggalan Ketua Pemuda UMNO Cawangan Taman Subang Baru, Sdr. Fadil Yusof.

“Kerjasama yang seperti inilah kita harapkan dapat diterapkan di seluruh kelompok masyarakat. Faedahnya akan sampai kepada kita semua juga,” ujarnya.

Thursday, August 9, 2007

ZAHID SERU KAUM BAPA HENTI MEROKOK DEMI MASA DEPAN ANAK-ANAK

KAUM bapa penagih rokok yang tergamak berbelanja sehingga beratus RM sebulan semata-mata untuk melampiaskan ketagihan itu, perlu menimbang semula tabiat mereka sama ada adil atau tidak untuk masa depan anak-anak.

Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Zahid Hamidi berkata, ramai bapa yang cukup 'berkira' dalam berbelanja untuk pendidikan anak-anak tetapi menjadi begitu pemurah untuk mengeluarkan wang membeli rokok.

"Untuk rokok, mereka langsung tak kisah ... ada yang sampai RM20 sehari. Harga rokok pun sudah mahal sekarang ... tapi kalau untuk belanja buku atau tuisyen anak-anak, punyalah kedekut. Macam-macam alasan diberi,"katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian dalam ucapan perasmian Kursus Motivasi Kecemerlangan UPSR Ð Skor 5A anjuran Biro Pendidikan Pemuda UMNO DUN Kota Damansara Ahad lalu yang disertai 136 calon UPSR dari seluruh DUN berkenaan.

Di tengah-tengah ucapannya, Ahmad Zahid turut meminta kanak-kanak berkenaan menyuarakan harapan mereka kepada kaum bapa yang turut hadir dalam majlis itu supaya tidak lagi merokok.

Permintaan itu disambut oleh kanak-kanak berkenaan dengan laungan harapan yang cukup menyentuh hati sekalian hadirin.

Selain itu, Ahmad Zahid juga mengingatkan kaum ibu untuk menggalakkan pemberian susu ibu kepada bayi berbanding susu segera.

"Susu ibu dijadikan Allah terlalu banyak khasiatnya ... dari segi fizikal, mental dan juga psikologi. Kerana itu, jangan diringankan nikmat anugerah ini," katanya.

Turut hadir dalam majlis itu YB Dato'; Timbalan Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Zein Isma Ismail; Ketua Pemuda UMNO Bahagian , Megat Firdouz Megat Junid dan Timbalan Pengerusi Biro Pendidikan Pemuda UMNO Malaysia, Harrisson Hassan.

Saturday, August 4, 2007

RM2OO tiap seorang daripada timbalan menteri

Pengumuman YB Dato' Timbalan Menteri disambut dengan tepukan bergemuruh.UMNO sentiasa berjuang untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat tak kira tanpa mengira perbezaan fahaman, kata YB Dato' Ahmad Zahid.

TIMBALAN Menteri Penerangan, YB Dato’ Haji Ahmad Zahid Hamidi berjanjibahawa beliau akan turun semula ke Kota Damansara untuk menanugerahkan RM200 tiap seorang kepada semua 136 peserta kursus Motivasi Kecemerlangan UPSR – Skor 5A yang dianjurkan Biro Pendidikan Pemuda UMNO DUN Kota Damansara baru-baru ini mencapai seratus peratus sasaran.

“Kalau semua 136 peserta kursus ini dapat 5A, saya minta YB Dato’ Mokhtar (ADUN Kota Damansara) segera maklumkan kepada saya … saya akan turun semula untuk beri RM200 tiap seorang.Pakcik janji … pakcik tak tipu, tak boleh tipu sebab masuk TV,” katanya sambil merujuk kepada jurukamera RTM yang berada di hadapannya untuk membuat rakaman ucapan perasmian kursus itu.

Merujuk kepada ucapan YB Dato’ Mokhtar sebelum itu yang memaklumkan kepada hadirin bahawa Selangor pada satu ketika pernah menghimpun 48,000 penduduk setinggan dengan 16,000 daripadanya berada di kawasan Petaling Jaya termasuk Kota Damansara yang sekarang sudah hampir seratus peratus berjaya diselesaikan, YB Dato’ Haji Ahmad Zahid berkata, gejala setinggan wujud kerana berlakunya fenomena mobiliti sosial secara horizontal, tidak secara vertikal.

“Orang berpindah dari kampung-kampung ke kawasan bandar atas faktor ekonomi, mencari pekerjaan dan sebagainya. Bagaimanapun apabila sudah berada di bandar, apa yang mereka dapat tidak cukup untuk menampung kos hidup yang sangat tinggi lalu mereka terpaksa membina rumah di tanah milik kerajaan atau orang lain untuk dijadikan tempat berteduh. Di tempat yang semacam ini, macam-macam masalah baru akan wujud seperti gejala sosial, kehidupan yang tidak selesa dan sebagainya.

“Amat malang sekali apabila mereka yang tinggal di tempat seperti ini kebanyakannya adalah orang kita … sedangkan orang dari kaum lain kebanyakannya tinggal di kawasan perumahan yang mewah dan selesa.

“Ini kerana mereka telah berusaha bersungguh-sungguh untuk memperbaiki taraf hidup dengan mencatat prestasi yang cemerlang dalam pelajaran, pekerjaan dan apa juga usaha ekonomi yang mereka lakukan. Hasilnya, perpindahan mereka adalah mobiliti sosial secara vertikal sedangkan kita secara horizontal,” kata YB Dato’ Haji Ahmad Zahid.

“Saya sendiri, tidak akan jadi timbalan menteri kalau tidak ada pelajaran. YB Dato’ Mokhtar pun tentu tak akan dipilih jadi wakil rakyat kalau tidak ada pelajaran. Kerana itu, sementara masih ada peluang, anak-anak semua tak ada pilihan melainkan kena belajar bersungguh-sungguh demi masa depan diri sendir, agama, bangsa dan juga negara,” katanya.



Jangan ‘berkira’ untuk pelajaran anak …

Dalam memotivasikan ibu bapa pula, YB Dato’ Zahid mengingatkan kaum bapa terutamanya supaya jangan mengamalkan sikap ‘berkira’ untuk berbelanja demi kejayaan anak-anak dalam bidang pelajaran.

“Itu tanggung jawab kita yang nanti akan disoal oleh Tuhan. Saya hairan dengan sikap sesetengah bapa yang sanggup berbelanja sampai RM200 atau RM300 sebulan semata-mata untuk belanja rokok sedangkan untuk yuran tuisyen atau buku pelajaran anak-anak bukan main kedekut,” tegasnya.

RM50,000 BAJET TAMBAHAN UNTUK SUBANG

"UMNO Bahagian akan bekerja keras untuk memastikan kejayaan anak-anak tuan!"

Barisan pimpinan UMNO Bahagian Subang bersama YB Dato' Haji Ahmad Zahid.


YB Dato' Ahmad Zahid, YB Dato' Ketua UMNO Bahagian dan pimpinan UMNO Bahagian bersama calon-calon UPSR anak DUN Kota Damansara.


YB Dato' Ahmad Zahid, YB Dato' Ketua UMNO Bahagian dan pimpinan Pemuda Bahagian semasa sesi sidang media.


Pimpinan Pemuda UMNO Bahagian Subang bersama ibu bapa dan calon-calon UPSR khusyuk mendengar amanat YB Dato' Timbalan Menteri Penerangan.



PARA ibu bapa, pelajar-pelajar sekolah khususnya yang bakal menduduki peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM di seluruh kawasan Parlimen Subang mendapat ‘durian runtuh’ apabila kerajaan bersetuju meluluskan peruntukkan tambahan RM50,000 lagi untuk mencapai jumlah peruntukkan RM100,000 bagi membiayai kursus-kursus motivasi peperiksaan bagi para calon dan juga ibu bapa yang berkenaan.

Timbalan Menteri Penerangan, YB Dato’ Haji Ahmad Zahid Hamidi berkata, peruntukkan itu akan disalurkan melalui Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Negeri Selangor demi mencapai matlamat lebih ramai pelajar di kawasan Parlimen ini akan mencatat kejayaan cemerlang dalam peperiksaan-peperiksaan tersebut.

Beliau mengumumkan perkara itu dalam ucapan perasmian Kursus Kecemerlangan UPSR Anak-Anak DUN Kota Damansara yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Seksyen 7, Kota Damansara, 29 Julai lalu.

Program tersebut dianjurkan Biro Pendidikan Pemuda UMNO DUN Kota Damansara dengan kerjasama JASA dan pentadbiran Sekolah Kebangsaan Seksyen 7.

“Saya akan maklumkan perkara ini kepada Pengarah JASA Negeri Selangor seberapa cepat yang mungkin setelah berasa bangga dan yakin dengan kesungguhan pemimpin-pemimpin di Bahagian ini, khususnya YB Dato’ Ketua UMNO Bahagian (YB Dato’ Mokhtar) sendiri dan Sdr. Megat (Ketua Pemuda UMNO Bahagian Subang) serta seluruh AJKnya yang saya lihat begitu bersungguh-sungguh menganjurkan program seumpama ini dengan cita-cita hendak melihat lebih ramai anak bangsa kita berjaya dengan cemerlang dalam bidang pelajaran,” katanya.

Dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian, YB Dato’ Haji Ahmad Zahid menjelaskan bahawa peluang itu ditawarkan dengan petunjuk bahawa kerajaan bersungguh-sungguh mahu melihat setiap keluarga mampu melahirkan sekurang-kurangnya seorang profesional yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

“Itulah impian kita … dan saya mahu lihat setiap keluarga ada cita-cita dan ada usaha yang bersungguh-sungguh untuk mencapainya,” kata YB Dato’ Haji Ahmad Zahid.

Mengulas pengumuman itu, Ketua UMNO Bahagian Subang yang juga ADUN Kota Damansara, YB Dato’ Haji Mohd Mokhtar Haji Ahmad Dahlan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Pusat, khususnya YB Dato’ Timbalan Menteri Penerangan kerana memberi tambahan peruntukkan itu kepada Subang.

“Saya sambut peluang ini dengan penuh kesyukuran serta berjanji bahawa usaha akan digerakkan oleh UMNO Bahagian untuk memanfaatkan bajet ini dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Sementara Ketua Pemuda, Sdr. Megat Firdouz pula berkata, ‘durian runtuh’ itu menjadi rangsangan yang amat kuat kepada Pemuda untuk lebih menggiatkan program-program pendidikan dan motivasi bukan sahaja kepada para pelajar tetapi juga ibu bapa.

“Kita percaya, hanya melalui pelajaran dan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan akan mengubah nasib sebahagian besar orang Melayu di kawasan bandar yang masih dihimpit kemiskinan. Kita tidak mahu anak-anak yang sedang membesar dan masih mempunyai peluang untuk mengubah nasib hidup dengan pelajaran ini mewarisi kemiskinan ibu bapa mereka untuk memanjangkan lagi senarai orang Melayu merempat di tanah air mereka sendiri,” katanya.


“I LOVE YOU, IBU …” “I LOVE YOU, AYAH” “TERIMA KASIH, CIKGU …”

Boling buah kelapa untuk merasmikan acara sukaneka ulang tahun ke 6 TBK Subang Baru.
"Bagi tahu atuk, nanti besar nak jadi apa?"


"Pandang pada ibu, pada ayah, pada cikgu ... cakap I love youuu!"

"Anak-anak ini semuanya ada impian ... jangan hampakan mereka!"


"Ibu bapa bertanggung jawab untuk menjadikan impian anak-anak kita satu kenyataan ..."


Kaum ibu Taman Subang Baru terharu mendengar luahan kasih sayang anak-anak mereka.

“I LOVE YOU, IBU …” “I LOVE YOU, AYAH” “TERIMA KASIH, CIKGU …”

Itulah kata-kata yang mampu meruntun hati sesiapa saja sekalipun membangkitkan suasana syahdu di Padang TBK Taman Subang Baru pagi Ahad lalu.


Laungan kasih sayang dan kata-kata penghargaan yang dilafazkan oleh sekumpulan anak-anak Tabika dari tengah padang itu yang ditujukan khas buat ibu, ayah dan cikgu mereka telah mendorong beberapa hadirin terpaksa mengesat mata, terutama di kalangan kaum ibu yang berada di bawah khemah di tepi padang.


Sambil melaungkan kata-kata itu, kumpulan anak-anak cilik tersebut memberikan isyarat tangan untuk menzahirkan rasa betapa mereka begitu terhutang budi kepada ibu, ayah serta cikgu-cikgu yang begitu banyak menabur budi mendidik mereka.

Rangsangan untuk mereka berbuat demikian tidak lain tidak bukan datangnya daripada pemimpin No. 1 DUN Kota Damansara.


YB Dato’ sejak awal telah meminggirkan protokol untuk hadir di tengah perkumpulan kanak-kanak itu dengan mengakui, sebagai ‘atuk’, beliau perlu berada lebih dekat dengan ‘cucu-cucu’nya.


“Lagipun saya sendiri bekas cikgu … saya berasa sangat seronok apabila dapat bersama dengan kanak-kanak,” kata YB Dato’ membuka ucapan perasmian Sukaneka Tahunan Tabika Cerdik, Cergas dan Ceria Taman Subang Baru.

Selain meminta anak-anak itu melaungkan kata-kata “I love you …” beberapa kali kepada ibu dan ayah mereka yang ketika itu berada di khemah di tepi padang dan kata-kata ‘terima kasih’ kepada cikgu-cikgu mereka di Tabika berkenaan, YB Dato’ turut menginterbiu kanak-kanak itu tentang cita-cita mereka setelah dewasa kelak.


Selang seminit dua saja, kedengaranlah pelbagai pengakuan: Ada yang nak jadi doktor, pilot, engineer, cikgu dan sebagainya.

Apabila ditanya oleh YB Dato’, “Siapa nak jadi wakil rakyat macam atuk?” Hampir kesemua mereka mengangkat tangan. Reaksi itu segera mengundang gelak tawa para hadirin sambil ada yang berbisik: “Kalau macam ini, jenuhlah nanti kalau semua berebut nak bertanding!”

Bagaimanapun, bagi YB Dato’, selaku pemimpin, beliau melihat reaksi kanak-kanak itu dengan pandangan yang berbeza.

“Perhatikan tuan-tuan, ibu dan ayah semua … inilah cita-cita dan impian anak-anak kita. Tidak ada mereka yang mahu jadi tidak baik, tidak ada seorang pun yang nak gagal dalam hidup. Semuanya nak berjaya, nak jadi cemerlang.

“Tuan-tuan, ibu dan ayah dengarlah tadi … masing-masing ada cita-cita yang tersendiri, nak jadi pilot, nak jadi engineer, doktor dan cikgu. Sekarang ini, tanggung jawab ibu dan ayahlah untuk menjadikan cita-cita mereka itu satu kenyataan!”

“Ingat pesan Nabi, anak-anak adalah kain putih, ibu dan ayahlah yang akan mewarnakannya. Jadi pesan saya, warnakanlah anak-anak ini dengan warna yang baik dan cantik. Mereka sudah ada cita-cita … janganlah hampakan mereka. Bimbinglah mereka untuk mencapai kejayaan dalam hidup, dunia dan akhirat, setidak-tidaknya supaya kehidupan mereka nantiadalah lebih baik daripada kita semua.”

Suasana senyap sunyi seketika tatkala YB Dato’ menyampaikan amanat itu. Kata-kata motivasi itu ternyata mampu mencetuskan kesedaran, sebagai muhasabah diri bagi semua ibu bapa untuk menilai sejauh mana mereka telah melaksanakan tanggung jawab masing-masing dalam menunaikan amanah TUHAN dalam mendidik anak-anak.

YB Dato’, selaku pemimpin telah pun menjalankan tanggung jawabnya menyuntik kesedaran yang amat diperlukan dalam suasana masyarakat diselubungi pelbagai isu moral dan prestasi yang tidak menggalakkan dewa



Tuesday, July 24, 2007

YB DATO' YAKIN KEMANTAPAN JENTERA P'RAYA

Penyokong-penyokong Parti Bas pada hari penamaan calon.

Sdr. Hasan Surif tidak tahan dengan provokasi parti lawan.


Penceramah Parti Bas, Tuan Haji Ali diganggu oleh jentera Parti Tukul (kiri) dan Parti Payung (pegang payung).


Parti Payung dan Parti Tukul bersepakat hendak membenam Parti Bas tapi akhirnya mereka sendiri yang terbenam.


Provokator Parti Payung (kiri) dan Parti Tukul berkerjasama menghentam Parti Bas.


YB Dato' disambut oleh 'orang lama' parti.

Calon Parti Bas dalam salah satu kempen khidmat masyarakat.


Salah seorang jentera Parti Payung akhirnya terpaksa akur dengan layanan baik oleh calon Parti Bas.


Sdr. Husin Katan (Subang Ehsan) dan Ir. Rozali (Jalan Nuri Seksyen 7) bersama dua lagi jentera Parti Bas sedang sibuk berkempen.

“KALAU beginilah gayanya … saya yakin target Pembangkang Sifar di Selangor akan berjaya. Kita (BN) akan menang besar dalam pilihanraya umum akan datang, insya-ALLAH!” kata YB Dato’ ketika berucap di majlis penutup Kursus Simulasi Pilihanraya Siri ke 3 2007 di Institut Budaya Baru Melayu (IBBM), Hulu Klang, Ahad lalu.

Keyakinan YB Dato’ ternyata bukan dibuat-buat.

Beliau mengakui benar-benar yakin setelah melihat kesungguhan yang ditunjukkan oleh sekalian 175 peserta kursus yang mewakili enam kawasan DUN iaitu Kota Damansara, Sekinchan, Sabak, Kuala Kubu Bharu, Bangi dan Meru sepanjang kursus tiga hari dua malam itu.

“Saya juga telah diberitahu oleh para fasilitator bahawa tuan-tuan dan puan-puan yang menyertai kursus simulasi siri ke 3 ini adalah yang terbaik dari segi komitmen dan semangat berpasukan berbanding dua kursus yang terdahulu. Tahniah dan syabas saya ucapkan,” kata YB Dato’ lagi disambut tepukan bergemuruh oleh para peserta.

YB Dato’ juga mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para peserta ‘orang lama’ yang meskipun sudah berkali-kali berpengalaman mengharung pilihanraya namun masih tidak jemu-jemu menghadiri kursus sebagai peserta biasa.

“Ini menunjukkan betapa tuan-tuan dan puan-puan benar pejuang parti, cintakan parti dan wajib menjadi contoh teladan bagi generasi muda,” kata Ahli Jawatankuasa Perhubungan UMNO Negeri Selangor itu.

Selain peserta veteran, YB Dato’ juga menyuarakan penghargaan yang serupa kepada mereka yang berjawatan tinggi dalam kerajaan tetapi masih sudi hadir sebagai peserta biasa. Antara yang ditujukan penghargaan tersebut ialah YB Puan Noriah Kasnon, Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan yang juga Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Sungai Besar.

Sementara itu, dalam pilihanraya olok-olok yang diadakan untuk menguji kemantapan jentera UMNO sempena kursus tersebut, calon yang mewakili Parti Bas, Dr. Zulkafperi Hanafi telah berjaya meraih 84 undi untuk dipilih sebagai ADUN N57 Seri Bunian.

Ketua UMNO Cawangan Jalan Nuri Seksyen 7 dari DUN Kota Damansara itu menewaskan dua calon lain yang mewakili Parti Tukul dan Parti Payung.

YB Dato’ juga melahirkan rasa bangga kerana komitmen padu yang ditunjukkan oleh seluruh jentera UMNO DUN Kota Damansara yang diwakili 44 peserta – lebih tujuh peserta dari angka yang diarah hantar oleh Biro Latihan UMNO Negeri.

“Kekalkan semangat ini dan saya percaya, kita tidak akan menghadapi masalah dalam pilihanraya sebenar yang akan datang. Tapi jangan pula over confident!” pesan YB Dato’.



Monday, July 23, 2007

PEKAN SUBANG BAKAL BERWAJAH BARU

TUAN-tuan punya tanah di sekitar Subang DIINGATKAN supaya tidak sekali-kali menjual tanah mereka sekalipun ditawar harga yang lumayan.

Ingatan itu disuarakan YB Dato’ atas sebab kawasan di sekitar tapak bekas lapangan terbang utama negara itu akan dimajukan sebagai pusat aeroangkasa yang terbesar di rantau ini tidak lama lagi.

“Kerana itu saya nak ingatkan, kalau ada orang datang dan tawarkan harga lumayan sekarang ini, jangan jual. Ini kerana tempat kita ini akan dimajukan oleh Kerajaan Pusat sebagai pusat aeroangkasa.

“Nanti akan ada limpahan ekonomi yang menawarkan pelbagai peluang yang kita sendiri boleh mendapat manfaat. Kita jangan berfikiran singkat dan ingat nak untung cepat. Apabila projek itu siap nanti, nilai hartanah di kawasan ini akan meningkat, peluang-peluang perniagaan untuk jualan barangan dan perkhidmatan akan terbuka luas,” kata YB Dato’ di majlis pecah tanah projek Bandar Utama Subang, Khamis lalu.

Bandar Utama Subang adalah projek perbandaran bercampur yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri melalui Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dengan kerjasama Gaya Irama Development Sdn Bhd.

Projek itu akan dijalankan di tapak Pekan Subang sekarang yang meliputi kawasan seluas dua hektar dan menempati lima blok kedai dan pangsapuri, tempat letak kereta empat tingkat dengan pasar basah di tingkat bawah serta stesen janakuasa dan loji pembetungan.

Projek itu dijangka siap dalam tempoh 24 bulan dengan nilai pembangunan kasar antara RM40 juta hingga RM45 juta.

Projek Bandar Utama Subang dijalankan atas dasar penswastaan dengan Kerajaan Negeri menyumbang tanah untuk dimajukan syarikat terbabit sebagai pertukaran bagi pembinaan pasar basah dan sekolah rendah di Seksyen U5, Subang Bestari.

Adalah dijangka bahawa pada tahun 2009 nanti, wajah Pekan Subang yang ada sekarang akan diganti sepenuhnya dengan lanskap perbandaran dan perumahan yang lebih sofistikated.
Bandar Utama Subang juga sekaligus akan menjadi tumpuan dan pusat bagi segala kegiatan ekonomi dan sosial para penduduk dari serata kawasan sekitarnya.

Sehubungan itu, sebagaimana kebiasaannya, YB Dato’ sekali lagi mengulangi gesaan supaya penduduk kawasan Subang bersiap sedia menghadapi perubahan tersebut kerana kejiranan mereka sudah tentu tidak dapat bertahan selamanya menghadapi arus kemajuan yang begitu pesat melanda kawasan tersebut.