Laungan kasih sayang dan kata-kata penghargaan yang dilafazkan oleh sekumpulan anak-anak Tabika dari tengah padang itu yang ditujukan khas buat ibu, ayah dan cikgu mereka telah mendorong beberapa hadirin terpaksa mengesat mata, terutama di kalangan kaum ibu yang berada di bawah khemah di tepi padang.
Sambil melaungkan kata-kata itu, kumpulan anak-anak cilik tersebut memberikan isyarat tangan untuk menzahirkan rasa betapa mereka begitu terhutang budi kepada ibu, ayah serta cikgu-cikgu yang begitu banyak menabur budi mendidik mereka.
Rangsangan untuk mereka berbuat demikian tidak lain tidak bukan datangnya daripada pemimpin No. 1 DUN Kota Damansara.
YB Dato’ sejak awal telah meminggirkan protokol untuk hadir di tengah perkumpulan kanak-kanak itu dengan mengakui, sebagai ‘atuk’, beliau perlu berada lebih dekat dengan ‘cucu-cucu’nya.
“Lagipun saya sendiri bekas cikgu … saya berasa sangat seronok apabila dapat bersama dengan kanak-kanak,” kata YB Dato’ membuka ucapan perasmian Sukaneka Tahunan Tabika Cerdik, Cergas dan Ceria Taman Subang Baru.
Selain meminta anak-anak itu melaungkan kata-kata “I love you …” beberapa kali kepada ibu dan ayah mereka yang ketika itu berada di khemah di tepi padang dan kata-kata ‘terima kasih’ kepada cikgu-cikgu mereka di Tabika berkenaan, YB Dato’ turut menginterbiu kanak-kanak itu tentang cita-cita mereka setelah dewasa kelak.
Selang seminit dua saja, kedengaranlah pelbagai pengakuan: Ada yang nak jadi doktor, pilot, engineer, cikgu dan sebagainya.
Apabila ditanya oleh YB Dato’, “Siapa nak jadi wakil rakyat macam atuk?” Hampir kesemua mereka mengangkat tangan. Reaksi itu segera mengundang gelak tawa para hadirin sambil ada yang berbisik: “Kalau macam ini, jenuhlah nanti kalau semua berebut nak bertanding!”
Bagaimanapun, bagi YB Dato’, selaku pemimpin, beliau melihat reaksi kanak-kanak itu dengan pandangan yang berbeza.
“Perhatikan tuan-tuan, ibu dan ayah semua … inilah cita-cita dan impian anak-anak kita. Tidak ada mereka yang mahu jadi tidak baik, tidak ada seorang pun yang nak gagal dalam hidup. Semuanya nak berjaya, nak jadi cemerlang.
“Tuan-tuan, ibu dan ayah dengarlah tadi … masing-masing ada cita-cita yang tersendiri, nak jadi pilot, nak jadi engineer, doktor dan cikgu. Sekarang ini, tanggung jawab ibu dan ayahlah untuk menjadikan cita-cita mereka itu satu kenyataan!”
“Ingat pesan Nabi, anak-anak adalah kain putih, ibu dan ayahlah yang akan mewarnakannya. Jadi pesan saya, warnakanlah anak-anak ini dengan warna yang baik dan cantik. Mereka sudah ada cita-cita … janganlah hampakan mereka. Bimbinglah mereka untuk mencapai kejayaan dalam hidup, dunia dan akhirat, setidak-tidaknya supaya kehidupan mereka nantiadalah lebih baik daripada kita semua.”
Suasana senyap sunyi seketika tatkala YB Dato’ menyampaikan amanat itu. Kata-kata motivasi itu ternyata mampu mencetuskan kesedaran, sebagai muhasabah diri bagi semua ibu bapa untuk menilai sejauh mana mereka telah melaksanakan tanggung jawab masing-masing dalam menunaikan amanah TUHAN dalam mendidik anak-anak.
YB Dato’, selaku pemimpin telah pun menjalankan tanggung jawabnya menyuntik kesedaran yang amat diperlukan dalam suasana masyarakat diselubungi pelbagai isu moral dan prestasi yang tidak menggalakkan dewa