Monday, June 4, 2007

YB DATO' TUNGGU BERITA GEMBIRA DARI GUGUSAN SIANTAN

Sebahagian daripada peserta Khemah Ibadah Siri ke-2 anjuran Persatuan Penduduk dan Badan Kebajikan Gugusan Siantan bergambar kenangan bersama pimpinan penganjur.

Ketibaan YB Dato' disambut mesra pemimpin-pemimpin masyarakat Gugusan Siantan.

YB Dato' mengambil peluang menurunkan amanat berharga kepada warga muda Kota Damansara.

"Ingat pesan Atuk, belajar rajin-rajin, nanti jadi orang paling berjaya ..." Agaknya itulah pesanan YB Dato' kepada si kecil ini.

Dalam hidup, tidak ada halangan. Yang ada hanya peluang!

Itulah intipati mesej yang cuba diserapkan oleh YB Dato’ kepada lebih 60 kanak-kanak peserta Khemah Ibadah Siri ke 2 anjuran Persatuan Penduduk dan Badan Kebajikan Gugusan Siantan, Seksyen 5, Kota Damansara, minggu lalu.

Dengan mengambil pengalaman masa silamnya sendiri sebagai teladan, YB Dato’ berkata, kesusahan hidup yang dilaluinya pada zaman kanak-kanak tidak pernah dianggap penghalang untuk beliau menanam cita-cita besar mengubah nasib diri dan keluarga menjadi orang yang berjaya.

“Saya sebaliknya menjadikan keadaan diri saya pada masa itu sebagai pembakar semangat untuk saya bekerja keras. Akhirnya dengan berkat semangat, usaha dan doa, saya berjaya,” katanya.

Sehubungan itu, kepada lebih 60 kanak-kanak berkenaan, YB Dato’ mengingatkan bahawa beliau akan sentiasa menunggu berita gembira mereka mencatatkan keputusan yang cemerlang dalam setiap peperiksaan.

“Saya akan selalu bertanya khabar pada Sdr. Azahari (Umar, Pengerusi Persatuan Penduduk) tentang keputusan peperiksaan anak-anak yang ada di hadapan saya pada hari ini,” kata YB Dato’ dalam ucapan merasmikan Khemah Ibadah tersebut.

Dalam pada itu, YB Dato’ turut mengingatkan para ibu bapa sebagai anggota masyarakat supaya bersama-sama mewujudkan suasana dan persekitaran yang merangsang untuk anak-anak sentiasa bermotivasi memburu cita-cita sebagai insan yang berjaya di dunia dan akhirat.

“Ini adalah tanggung jawab kita bersama. Suasana dan persekitaran, kitalah yang membentuknya. Kalau setiap hari kita hadapkan anak-anak dengan budaya yang tidak sihat, malas belajar, hidup bermasalah, mengabaikan tuntutan agama, begitulah rupa anak-anak kita,” kata YB Dato’.

Akan tetapi, katanya lagi, andai setiap ibu bapa menonjolkan cirri-ciri yang positif dalam budaya hidup mereka, anak-anak sudah tentu akan menjadikan diri mereka sebagai idola.

“Ibu bapa adalah contoh terdekat bagi anak-anak,” katanya.

Turut hadir dalam majlis tersebut, Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) DUN Kota Damansara, Ustaz Wan Sobri dan Imam Surau Arrayyan Gugusan Siantan, Ibrahim Mamat.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home