Saturday, May 26, 2007

ISU TANAH KUBUR SEKSYEN 9 SELESAI

Pelan projek perkuburan Seksyen 9 yang dilengkapi taman rekreasi dan trek jogging.

Betapa indahnya perkuburan ini apabila siap kelak. Sama-samalah kita tunggu hasilnya ...

Saya yakin apabila siap nanti, tak akan ada orang kata kita tersilap bina kubur canggih ini - YB Dato' Mokhtar

Awan mendung sudah berlalu …

AWAN mendung yang menyelubungi Kota Damansara berikutan isu bantahan Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, dua bulan lalu sudah pun berlalu. Kini perkuburan canggih yang mesra alam itu sudah pun beroperasi dengan menempatkan lebih 30 penghuni.

Air mata YB Dato’ yang menitis tatkala beliau hadir di perhimpunan kira-kira 300 penduduk KD membantah tindakan sekumpulan penduduk lain menentang pembinaan perkuburan itu, lebih dua bulan dulu adalah petunjuk betapa beliau begitu mengambil berat akan keperluan penduduk di situ.

Air mata YB Dato’ akhirnya ternyata berupaya menyejukkan hati kedua-dua pihak, baik yang menyokong mahu pun yang menentang. Sesungguhnya tiada siapa pun yang mahu berbalah sesama sendiri!

Pendekatan sebagai ‘bapa’ yang dilaksanakan dengan cukup berkesan oleh YB Dato’ ternyata dihormati dan dihargai.

Biar pun isu sudah semakin reda, minggu lalu YB Dato’ telah mengambil inisiatif sendiri untuk mengajak kira-kira 50 aktivis masyarakat sekitar Kota Damansara, termasuk yang pernah membantah ‘kehadiran’ tanah kubur di Seksyen 9 suatu ketika dulu, untuk bersama-sama dengan beliau meninjau projek ‘perkuburan canggih’ yang sedang dijalankan kawasan tersebut.

Tujuan YB Dato’ tak lain tak bukan adalah kerana mahu semua pihak berpuas hati dengan apa yang mahu dilakukan oleh pihak kerajaan di kawasan itu.

“Mendiamkan diri (tidak membantah) tidak bermakna apa-apa jika mereka menentang di dalam hati. Kerana itu, saya perlu jelaskan dengan sejelas-jelasnya kerana saya percaya, setelah diberi penjelasan, mereka akan lebih memahami apa yang mahu kita (kerajaan) lakukan di sini,” kata YB Dato’.

Penjelasan YB Dato’ berkaitan isu Tanah Perkuburan Seksyen 9, Kota Damansara

Apabila Kerajaan Selangor bersetuju mewartakan kawasan seluas 50 ekar daripada 850 ekar tanah milik kerajaan di Seksyen 9, Kota Damansara, berita itu amat melegakan penduduk setempat.

Ini kerana, setelah lebih 10 tahun menghuni kawasan itu, pelbagai kesulitan terpaksa ditempuh kira-kira 150 ribu penduduk Islam Kota Damansara (KD) setiap kali berlaku kematian.

Jika dulu, jenazah dari KD dibenarkan dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, kini kebenaran sudah ditarik balik berikutan kawasan kubur di situ semakin sempit dan hanya dikhaskan untuk warga Ibu Kota sahaja.

Perkuburan Seksyen 17, Kampung Tunku, PJ pula sudah penuh. Mahu mengemis ruang di Kampung Melayu Subang, keluasan tanah kubur di sana yang hanya 2.5 ekar bahkan tidak cukup pun untuk menampung keperluan penduduk setempat.

Mahu dihantar ke Kampung Melayu Sungai Buloh, pun hadapi masalah yang sama. Begitu juga Paya Jaras dan Taman Ehsan, Kepong yang perlu lebih mengutamakan anak kariah sendiri berikutan masalah tanah kubur di kawasan Lembah Klang yang rata-ratanya semakin sempit dan terhimpit.

Kerana itu, tanah kubur di kawasan sedang pesat membangun lagi padat penduduk seperti KD sememangnya amat-amat diperlukan. Tapi sayang … tanah anugerah kerajaan yang sudah terhidang di depan mata, tiba-tiba dibantah pula.

Namun dengan karisma seorang ‘ayah’, YB Dato’ ternyata tidak mudah melatah. Beliau menganggap isu ini tercetus hanya kerana masalah kurang faham, kurang jelas dan seumpama konflik adik abang.

“Saya tidak anggap mereka bantah, mereka cuma kurang faham.” Begitulah pandangan YB Dato’ sebagaimana yang diberitahunya kepada wartawan ketika isu tersebut memuncak.

Projek kubur didakwa memusnahkan ekosistem

Antara kumpulan yang paling lantang membantah projek pembinaan kubur itu adalah kumpulan yang mengaku pencinta alam, yang mendakwa projek itu memusnahkan ekosistem di kawasan tersebut.

Dalam penjelasannya, YB Dato’ berkata, memang benar, suatu ketika dulu kawasan hutan Seksyen 9 itu adalah sebahagian daripada Hutan Simpan Sungai Buloh yang mahu dijadikan Taman Botani oleh kerajaan negeri.

“Bagaimanapun, sejak tiga tahun dulu, Taman Botani telah diubah ke Taman Pertanian Bukit Cahaya Seri Alam di Shah Alam, bukan lagi di sini,” jelasnya.

Kerana itu, kata YB Dato’ lagi, kerajaan tiada masalah untuk mengazetkan kawasan tersebut sebagai tanah perkuburan Islam memandangkan keperluan penduduk adalah lebih penting. Tambahan pula, kawasan yang mahu dijadikan perkuburan itu hanya 50 ekar daripada keseluruhan 850 ekar keluasan kawasan hutan.

Perkuburan canggih, mesra alam

“Apa yang ramai orang kurang jelas adalah perkuburan yang kita nak bina di sini sebenarnya tak sama dengan kubur-kubur lain. Ini adalah perkuburan tercanggih dengan lanskap yang teratur dan dirancang. Pokok-pokok besar akan dikekalkan sebagai aset taman. Saya percaya, apabila siap kelak, orang yang pertama kali datang ke sini pun tak tahu bahawa mereka berada di kawasan kubur,” kata YB Dato’ sebagaimana yang disiarkan dalam sebuah akhbar terbitan 7 April 2007.

Selain itu, jelas YB Dato’ lagi, penghuni kawasan perumahan sekitar situ juga tidak perlu gusar kerana kerana zon penampan (buffer zone) dalam jarak 30 meter akan diwujudkan di sekeliling kawasan perkuburan tersebut, termasuk dari jalan raya.

“Kita sudah buat perancangan teliti untuk membina perkuburan ini. Antara keutamaan kita ialah supaya wujudnya kubur ini nanti tidak mencelakan pandangan. Kita sedar bahawa nilai hartanah di KD adalah antara yang tertinggi di Selangor dan sudah tentu kita tidak mahu menjatuhkannya,” katanya sebagai mengulas isu terpenting dalam kontroversi bantahan tersebut.

Trek jogging, kawasan rekreasi

Selain lanskap dan pengekalan pokok-pokok besar, kawasan perkuburan tersebut juga akan dilengkapi dengan trek jogging dan kawasan rekreasi untuk masyarakat yang kos keseluruhannya menelan belanja sekitar RM10 juta.

“Kawasan rekreasi ini nanti akan diselaraskan dengan Taman Tasik Rimba Riang yang sudah ada. Ini akan meluaskan lagi kawasan rekreasi di tempat kita dan saya sesiapa jua pun pasti akan gembira melihat hasilnya nanti,” kata YB Dato’, penuh yakin.

Banyak lagi projek untuk rakyat menunggu di KD

Kawasan perkuburan Islam tercanggih dan mesra alam di Seksyen 9 Kota Damansara yang sedang dalam pembinaan dengan kos RM10 juta adalah termasuk dalam pelan Local Agenda 21 bagi kawasan DUN berkenaan.

Termasuk dalam pelan yang akan menyusul ialah pembinaan Masjid Kota Damansara di Seksyen 5 yang menelan kos RM5 juta.

“Masjid itu nanti bukan sekadar menjadi tempat ibadat tetapi juga sebagai pusat keunggulan masyarakat setempat (centre of excellent) yang dilengkapi pelbagai kemudahan bersepadu seperti dewan seminar, pusat ICT, bilik mesyuarat, perpustakaan dan sebagainya,” kata YB Dato’.

Masjid yang dalam pembinaan itu dijangka siap dalam tempoh 18 bulan lagi.

Selain itu, dalam fasa kedua masjid itu nanti, turut dirancang ialah pembinaan sekolah rendah Islam dengan kapasiti dua ribu murid dan sekolah menengah integrasi.

Bagi tujuan riadah pula, kata YB Dato’, setelah berjaya menjadikan Kelab Golf Sri Selangor sebagai gelanggang golf masyarakat, pihaknya sedang berusaha untuk mendapatkan kelulusan membina kolam renang awam yang mengikut cadangan, akan dibina di kawasan Taman Industri Kota Damansara.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home