Wednesday, June 6, 2007

KEKALKAN SEMANGAT KAMPUNG TRADISIONAL

YB Dato' bergambar kenangan bersama para kontraktor dan pemimpin-pemimpin masyarakat DUN Kota Damansara seusai majlis penyerahan surat kontrak.

"Buat kerja baik-baik ..." Itulah agaknya pesanan YB Dato' kepada salah seorang kontraktor yang diberi tanggung jawab menyenggarakan prasarana di DUN Kota Damansara.

Salah seorang kontraktor diperkenalkan oleh YB Dato' kepada pemimpin masyarakat DUN Kota Damansara untuk memudahkan jalinan kerjasama.


"Berpakat elok- elok, jangan gaduh-gaduh ..." Gurauan YB Dato' telah mencetuskan gelak tawa para hadirin. Berdiri di kanan YB Dato', En. Azrul Hashim, ADO Petaling sementara di kiri, En. Shamsuddin Bkhtiar, AJK UMNO Bahagian.



PENDUDUK Kampung Melayu Subang dan Kampung Melayu Subang Tambahan serta kampung-kampung lain di sekitar itu diingatkan supaya mengekalkan ciri-ciri budaya kampung tradisional walaupun kejiranan mereka diasak hebat oleh kawasan perbandaran yang paling pesat membangun seperti Shah Alam, Petaling Jaya dan Kota Damansara.

Pesanan itu disuarakan oleh YB Dato' yang kemudian menjelaskan, antara ciri-ciri budaya kampung Melayu tradisional yang perlu dikekalkan itu adalah seperti gotong royong, semangat muhibbah dan silaturahim yang erat, program kesenian dan kebudayaan masyarakat, budaya bekerjasama, tolong menolong dan sebagainya.

Selain itu, YB Dato' turut menekankan peri pentingnya mereka menjaga kebersihan dan keindahan lanskap kediaman masing-masing dan di seluruh kejiranan.

"Dalam masa yang sama, tuan-tuan juga harus memanfaatkan segala macam projek pembangunan yang melanda kawasan ini. Jangan berpeluk tubuh sahaja melihat pembangunan berlaku di sekeliling kita. Tuan-tuan sendiri harus memainkan peranan proaktif untuk merencanakan agenda yang boleh membawa faedah kepada semua pihak. Maklumkan kepada saya apa yang perlu dan saya akan panjangkan kepada kerajaan untuk tindakan pelaksanaan," kata YB Dato' selaku wakil rakyat Kota Damansara.

YB Dato' menyuarakan pesanan demikian di majlis penyerahan surat kontrak kepada lebih 20 kontraktor kelas F yang dipilih oleh Pejabat Daerah Petaling untuk melaksanakan pelbagai Projek Pembangunan Infrastruktur Awam (PIA) dan Projek Pembangunan Infratsruktur Asas (PIAS) di seluruh kawasan DUN Kota Damansara, Sabtu lalu.

Keseluruhan nilai kos projek berkenaan adalah lebih RM2 juta meliputi kerja-kerja penyenggaraan dan menaik taraf jalan, masjid dan surau, balai raya, pusat komuniti, tadika dan sebagainya.

Turut sama hadir dalam majlis tersebut yang berlangsung di Dewan MBSA Subang Perdana itu adalah pemimpin-pemimpin masyarakat, masjid dan surau dari seluruh DUN Kota Damansara.

Tuesday, June 5, 2007

YB DATO' TURUN PADANG PERANGI DENGGI

Menyerahkan ubat pembunuh aedes kepada salah seorang penduduk.


Program tinjauan rumah ke rumah seperti ini memberi peluang buat YB Dato' untuk mendengar sendiri maklumat, aduan dan rungutan rakyat akar umbi.

Bersama En. Buhari Said meninjau ke dalam bilik air salah sebuah rumah yang sudah lama tidak berpenghuni.


Beramah mesra dengan seorang aktivis masyarakat Gugusan Melur, En. Mohamad Zakaria.

Bertanya khabar En. Noran dari Kelantan yang bercuti di rumah anaknya.


“SAYA SEDIH SETIAP KALI DENGAR ADA ORANG KOTA DAMANSARA SAKIT …”


“WALAUPUN banyak perkara yang boleh saya banggakan tentang Kota Damansara namun masuk perkara yang satu ini, saya selalu berasa susah hati, sangat susah hati!” Itulah keluhan YB Dato’ sambil mendaki tangga demi tangga apartmen Gugusan Melur, Seksyen 4, Kota Damansara, tengah hari minggu lalu.

Luahan wakil rakyat Kota Damansara yang juga Exco Kerajaan Selangor itu tak lain tak bukan adalah berkaitan masalah denggi yang sudah beberapa kali menyerang Kota Damansara.

Atas sebab itu, YB Dato’ pada hari minggu lalu, bersama dua pegawai dari Jabatan Kesihatan Daerah Petaling disertai pemimpin- pemimpin masyarakat setempat meninjau dari satu bangunan ke satu bangunan, dari satu tingkat ke satu tingkat dan dari satu rumah ke satu rumah, memberi nasihat kepada setiap anggota masyarakat akan peri pentingnya menjaga kebersihan, menghindari pembiakan nyamuk aedes sekaligus menjauhkan mereka dari demam yang boleh meragut nyawa itu.

“Saya sayang semua orang Kota Damansara. Kalau boleh saya tak mahu dengar berlaku kematian akibat denggi atau sebarang perkara yang berpunca dari kesilapan atau pengabaian diri sendiri,” kata YB Dato’ yang disambut mesra oleh para penghuni yang juga tidak putus-putus mengucapkan penghargaan atas nasihat dan keprihatinan beliau berhubung perkara itu.

Selain nasihat kesihatan dan kebersihan, YB Dato’ juga mengambil kesempatan dari tinjauan itu untuk bertanya sendiri akan isu-isu atau masalah yang dihadapi para penduduk.

Dalam pada itu, setiap kali bersua dengan generasi muda terutama anak-anak kecil, sebagai seorang ‘atuk’, beliau turut berpesan kepada mereka supaya memberi sepenuh tumpuan kepada pelajaran di samping menjaga tingkah laku.

Selesai di Gugusan Melur, YB Dato’ meninjau di Gugusan Semarak pula.

Sesungguhnya, keprihatinan yang ditunjukkan oleh YB Dato’ wajar dihargai dan diteladani oleh semua pemimpin-pemimpin masyarakat di seluruh DUN Kota Damansara khususnya.






Monday, June 4, 2007

YB DATO' TUNGGU BERITA GEMBIRA DARI GUGUSAN SIANTAN

Sebahagian daripada peserta Khemah Ibadah Siri ke-2 anjuran Persatuan Penduduk dan Badan Kebajikan Gugusan Siantan bergambar kenangan bersama pimpinan penganjur.

Ketibaan YB Dato' disambut mesra pemimpin-pemimpin masyarakat Gugusan Siantan.

YB Dato' mengambil peluang menurunkan amanat berharga kepada warga muda Kota Damansara.

"Ingat pesan Atuk, belajar rajin-rajin, nanti jadi orang paling berjaya ..." Agaknya itulah pesanan YB Dato' kepada si kecil ini.

Dalam hidup, tidak ada halangan. Yang ada hanya peluang!

Itulah intipati mesej yang cuba diserapkan oleh YB Dato’ kepada lebih 60 kanak-kanak peserta Khemah Ibadah Siri ke 2 anjuran Persatuan Penduduk dan Badan Kebajikan Gugusan Siantan, Seksyen 5, Kota Damansara, minggu lalu.

Dengan mengambil pengalaman masa silamnya sendiri sebagai teladan, YB Dato’ berkata, kesusahan hidup yang dilaluinya pada zaman kanak-kanak tidak pernah dianggap penghalang untuk beliau menanam cita-cita besar mengubah nasib diri dan keluarga menjadi orang yang berjaya.

“Saya sebaliknya menjadikan keadaan diri saya pada masa itu sebagai pembakar semangat untuk saya bekerja keras. Akhirnya dengan berkat semangat, usaha dan doa, saya berjaya,” katanya.

Sehubungan itu, kepada lebih 60 kanak-kanak berkenaan, YB Dato’ mengingatkan bahawa beliau akan sentiasa menunggu berita gembira mereka mencatatkan keputusan yang cemerlang dalam setiap peperiksaan.

“Saya akan selalu bertanya khabar pada Sdr. Azahari (Umar, Pengerusi Persatuan Penduduk) tentang keputusan peperiksaan anak-anak yang ada di hadapan saya pada hari ini,” kata YB Dato’ dalam ucapan merasmikan Khemah Ibadah tersebut.

Dalam pada itu, YB Dato’ turut mengingatkan para ibu bapa sebagai anggota masyarakat supaya bersama-sama mewujudkan suasana dan persekitaran yang merangsang untuk anak-anak sentiasa bermotivasi memburu cita-cita sebagai insan yang berjaya di dunia dan akhirat.

“Ini adalah tanggung jawab kita bersama. Suasana dan persekitaran, kitalah yang membentuknya. Kalau setiap hari kita hadapkan anak-anak dengan budaya yang tidak sihat, malas belajar, hidup bermasalah, mengabaikan tuntutan agama, begitulah rupa anak-anak kita,” kata YB Dato’.

Akan tetapi, katanya lagi, andai setiap ibu bapa menonjolkan cirri-ciri yang positif dalam budaya hidup mereka, anak-anak sudah tentu akan menjadikan diri mereka sebagai idola.

“Ibu bapa adalah contoh terdekat bagi anak-anak,” katanya.

Turut hadir dalam majlis tersebut, Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) DUN Kota Damansara, Ustaz Wan Sobri dan Imam Surau Arrayyan Gugusan Siantan, Ibrahim Mamat.